'Tuanku berjiwa rakyat, namun pemimpin tidak berjiwa rakyat'

KU LI
KU LI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyelar sikap sesetengah pemimpin yang didakwanya tidak berjiwa rakyat apabila mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen bersidang segera.

Beliau berkata, sedangkan apa yang dititahkan Al-Sultan Abdullah itu adalah untuk memastikan segala masalah berkaitan rakyat dapat dibahaskan di Dewan Rakyat.

"Yang di-Pertuan Agong sendiri menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan supaya kita bersidang Parlimen dengan segera, banyak orang pertikaikan pula. Ada orang daripada kalangan wakil rakyat sendiri yang ada jawatan dalam kerajaan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera.

"Tuanku berjiwa rakyat, namun orang yang mewakili rakyat tidak berjiwa rakyat.

"Saya rasa orang begini patut pencen, tidak disambung khidmatnya kerana pertikaikan sesuatu yang patut dijunjung dan dijalankan perintah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika membuat ulasan serius isu negara dan melancarkan Petisyen Rakyat Desak Segerakan Sidang Parlimen Sebelum Tamat Darurat menerusi Facebooknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata, seharusnya sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, golongan itu perlu memperjuangkan hak rakyat terutamanya dalam tempoh genting ini.

"Yang di-Pertuan Agong mendapat sokongan senada dengan titah baginda daripada Raja-raja Melayu yang datang khusus untuk mendengar taklimat dalam mengambil tahu hal rakyat. Apakah tindakan perlu yang patut dilakukan oleh Raja-raja Melayu di merata tempat.

"Yang di-Pertuan Agong mahu melihat Parlimen bersidang seberapa segera yang boleh tetapi dipertikaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!