MPM dapat kembali RM480,000
SELEPAS menanti hampir 10 tahun, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mendapat kembali wang sejumlah RM480,000 daripada kerajaan negeri Pahang.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kerajaan negeri itu telah bersetuju untuk mengembalikan wang berkenaan, yang dipinjamkan sebagai wang pendahuluan untuk penganjuran Sukan Paralimpiad Malaysia 2012 (kini dikenali sebagai Para Sukma).
Menurutnya, duit itu masih dipegang kerajaan negeri berikutan masalah teknikal daripada barisan kepimpinan lama MPM.
“Perkara ini berlanjutan untuk beberapa tahun, jadi barisan exco membuat segala yang perlu, termasuk berjumpa dengan Ketua Polis Pahang dan Pejabat Setiausaha (SUK) kerajaan negeri Pahang.
“Alhamdulillah, dua minggu lepas Exco Sukan Pahang (Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain) telah menghubungi MPM untuk mengatakan mereka akan membuat bayaran, kita hanya memberikan dokumentasi,” katanya pada sidang media secara maya, pada Isnin.
Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk R. Subramaniam berkata, MPM menyerahkan wang pendahuluan berkenaan kepada kerajaan Pahang pada ketika itu, sementara menunggu dana daripada Kementerian Belia dan Sukan.
“Masa itu penganjur kurang dana, mereka meminta bantuan MPM, jadi kita beri wang pendahuluan, tetapi proses nak dapat balik lambat sikit. Oleh itu jawatankuasa baharu digerakkan sepenuhnya untuk mendapatkan wang itu semula,” katanya.
Mengenai status kewangan MPM ketika dilanda pandemik Covid-19, Megat D Shahriman berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari penajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan itu, selepas hanya menerima geran RM100,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tahun ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa persiapan atlet ke Sukan Paralimpik Tokyo berjalan lancar dan seperti yang dirancang oleh MSN, dengan sasaran mereka akan mempamerkan aksi kemuncak prestasi (peak) pada temasya berkenaan.
“Atlet tidak akan menyertai mana-mana kejohanan selepas ini, mereka akan meneruskan latihan rutin dan jaga nutrisi. Penting buat masa ini untuk tidak dapat (jangkitan) Covid-19. Ada juga atlet seperti Bonnie Bunyau Gustin yang sudah dua tahun tak balik kampung jumpa keluarga,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!