'Mamat' dipindah ke Paya Indah Wetland

Buaya tembaga digelar Mamat berjaya ditangkap oleh anggota Perhilitan di kawasan lombong tinggal di Tepoh, Kuala Nerus pada Isnin. - Foto Ihsan Perhilitan Terengganu
Buaya tembaga digelar Mamat berjaya ditangkap oleh anggota Perhilitan di kawasan lombong tinggal di Tepoh, Kuala Nerus pada Isnin. - Foto Ihsan Perhilitan Terengganu
A
A
A

KUALA NERUS - Usaha Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menjejaki seekor buaya digelar Mamat sejak tahun lalu membuahkan hasil apabila haiwan itu berjaya memasuki jerat dan ditangkap di kawasan lombong tinggal di Tepoh, di sini pada petang Isnin.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, buaya tembaga berukuran kira-kira 3.7 meter itu ditangkap oleh 17 kakitangan Perhilitan kira-kira jam 5.45 petang.

"Buaya ini telah ditangkap melalui kaedah pemasangan jerat yang dijalankan anggota Perhilitan sejak jam 4.30 petang.

"Malam ini Mamat akan dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, usaha menjejak kembali Mamat dilakukan sejak pertengahan Mei lalu di mana Perhilitan telah memasang tiga unit perangkap buaya di lokasi berkenaan namun tidak berjaya.

Mamat akan dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor. - Foto Ihsan Perhilitan Terengganu
Mamat akan dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor. - Foto Ihsan Perhilitan Terengganu

Kisah Mamat yang dikatakan tersesat di lombong tinggal tular pada 2016 apabila video memaparkan penduduk setempat yang sering memberi reptilia itu makanan dan haiwan itu kelihatan jinak disebarkan.

Reptilia itu hanya berukuran satu meter ketika ditemui penduduk dan ia tidak bertindak agresif menyebabkan ramai yang datang ke kawasan lombong untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober 2019, Perhilitan Terengganu telah memasang perangkap untuk menangkap buaya berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk kampung sekali gus mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, kelibat Mamat dikatakan tidak kelihatan selepas itu dan Mamat tidak berjaya ditangkap kerana telah menghilangkan diri.

Tahun ini, kisah Mamat kembali menjadi bualan berikutan kemunculan semula haiwan itu di kawasan lombong tinggal berkenaan dan dikatakan semakin membesar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!