ACCCIM suarakan kebimbangan lanjutan fasa pertama PPN

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menyuarakan kebimbangan terhadap lanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke atas ekonomi dan perniagaan.

ACCCIM dalam kenyataan pada Isnin berkata, kajian pihaknya mendapati 77.1 peratus daripada 442 syarikat masih bimbang mengenai aliran tunai, kredit dan kos.

“Lebih 60 peratus daripada syarikat menunjukkan keadaan perniagaan, aliran tunai dan situasi penghutang yang lebih buruk pada separuh kedua 2021 berbanding separuh pertama 2021.

“Fasa kawalan pergerakan ini telah mengancam kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, individu dan golongan bekerja sendiri dalam sektor tidak formal turut berdepan masalah kewangan,” katanya.

ACCCIM berpandangan, vaksinasi adalah satu-satunya penyelesaian untuk membantu membina perlindungan dan kembali kepada keadaan biasa, manakala sedikit pengubahsuaian kepada pelanjutan fasa pertama ini boleh dilakukan untuk menyokong beberapa tahap kegiatan ekonomi dan perniagaan serta kehidupan seharian.

Sehubungan itu, ia menggesa kerajaan untuk menyokong beberapa tahap aktiviti ekonomi dan perniagaan, termasuk kelulusan menyeluruh kepada semua rantaian bekalan untuk beroperasi pada kadar 60 hingga 70 peratus kapasiti pekerja di bawah prosedur operasi standard yang lebih ketat.

“Gunakan pendekatan kawalan pergerakan bersasar berbanding sekatan pergerakan di seluruh negara, disokong oleh data saintifik dan telus,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu terus menggerakkan sumber perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta untuk mempercepatkan vaksinasi dan meluluskan proses membenarkan penyumberan vaksin daripada sektor swasta serta menggunakan pas vaksinasi sebagai asas untuk menyelaraskan langkah penjarakan fizikal dan perjalanan rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan fasa pertama di bawah PPN perlu dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah letak jawatan: Saham Serba Dinamik susut 16 peratus