SME Bank peruntuk RM200 juta bantu usahawan dalam sektor 3D

Foto www.smebank.com.my
Foto www.smebank.com.my
A
A
A

SME Bank memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Geran Padanan Pemerkasa bagi membantu usahawan daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) terutamanya dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Langkah yang diambil bank itu adalah susulan daripada pengumuman Pemerkasa oleh Perdana Menter, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sektor 3D adalah antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka telah tergendala akibat daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak tahun lepas.

“Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa ini akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara empat hingga lima peratus setahun.

“Untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan.

"Ini akan membolehkan usahawan PKS membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, “ katanya.

Aria Putera berkata, pelanggan juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat SME Bank.

Kemudahan pembiayaan ini juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Pelanggan SME Bank dan usahawan PKS yang berminat untuk mengetahui tentang Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa SME Bank boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di talian 03-26037700, pengurus perhubungan mereka atau layari laman web rasmi www.smebank.com.my. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!