Sepanyol mara ke suku akhir Euro 2020
BIARPUN ketinggalan 0-1 hasil gol sendiri pada minit ke-20, Sepanyol akhirnya mengesahkan slot ke suku akhir Euro 2020 apabila menewaskan finalis Piala Dunia 2018, Croatia 5-3 dalam masa tambahan pada aksi kalah mati di Stadium Parken, Copenhagen pada Selasa.
Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad La Roja itu hampir membuka jaringan pada minit ke-13, namun Koke gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol lawan biarpun berdepan satu sama satu dengan penjaga gol, Dominik Livakovic.
Malah sebaliknya, Croatia yang dilihat lebih banyak bertahan pada awal permainan pula yang berjaya membuka jaringan pada minit ke-20, apabila Pedri ‘menghadiahkan’ gol pembukaan buat The Blazers apabila bola yang dilorongkan kepada penjaga gol, Unai Simon gagal ditampan kemas dan terus menerjah jaring.
Skuad La Roja itu bagaimanapun berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Pablo Sarabia pada minit ke-38 sebelum pemain pertahanan, Cesar Azpilicueta menanduk masuk hantaran lintang Ferran Torres pada minit ke-57.
Ferran Torres kemudiannya menjaringkan gol ketiga Sepanyol pada minit ke-77, apabila berjaya memanfaatkan lorongan cantik pemain gantian, Pau Torres sebelum merembat leret menewaskan Livakovic.
Ketinggalan 1-3 bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Croatia untuk terus mengasak ke gawang Sepanyol dan akhirnya menyaksikan pemain gantian, Mislac Orsic merapatkan jurang gol pada minit ke-85 sebelum pemain gantian, Mario Pasalic menyamakan kedudukan pada masa kecederaan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Croatia hampir membuka jaringan pada minit ke-96 menerusi rembatan Orsic namun kali ini Simon dilihat lebih bersedia bagi mengelakkan pintu golnya dibolosi.
Penyerang Sepanyol, Alvaro Morata kemudiannya menggamatkan stadium apabila memanfaatkan peluang di depan pintu gol Croatia bagi menjaringkan gol keempat pada minit ke-100 sebelum pemain gantian Mikel Oyarzabal menjaringkan gol kelima pada minit ke-103.
Seperti di separuh masa kedua, Croatia dilihat masih tetap bersemangat meneruskan perlawanan dan cuba bangkit menerusi beberapa asakan ke pintu gol Sepanyol pada penghujung perlawanan, namun gagal menembusi benteng pertahanan skuad La Roja itu sehingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!