Kuat semangat berdepan Jerman
PENGENDALI England, Gareth Southgate mempunyai sejarah hitam dalam kariernya sebagai pemain ketika menentang Jerman pada aksi separuh akhir Euro 1996.
Biarpun sudah 25 tahun berlalu, kegagalan Southgate menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi tersebut sehingga kini masih lagi segar dalam ingatannya.
Enggan anak-anak buahnya pula dihantui detik buruk itu, Southgate berharap mereka kekal fokus menjelang pertemuan menentang Jerman dalam aksi pusingan 16 terbaik Euro 2020 di Stadium Wembley tengah malam Rabu ini.
“Apa yang saya harapkan sekarang, setiap pemain mempertingkat prestasi dan menguatkan semangat masing-masing bagi memburu kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Saya rasa tidak perlu untuk terangkan lagi kerana sejarah lalu pastinya sudah tidak relevan. Mereka juga pasti telah menyaksikan aksi itu dan memahami apa yang berlaku.
“Lagipun mereka telah melakar beberapa sejarah tersendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi saya rasa dengan cara beginilah mereka sepatutnya melihat perlawanan menentang Jerman nanti,” katanya.
Untuk rekod, England tidak pernah menewaskan Jerman dalam mana-mana kejohanan utama sejak final Piala Dunia 1966 apabila tewas dalam kempen Piala Dunia 1990, Euro 1996 dan Piala Dunia 2010.
Namun, Southgate menganggap pertemuan menentang Jerman kali ini sebagai peluang terbaik untuk membuktikan England mampu mengakhiri badi tersebut.
Malah, Soutgate kini mempersiapkan barisan pemainnya bagi menghadapi sepakan penalti jika perlawanan masih lagi terikat selepas tamat masa tambahan.
“Kami memenangi dua perlawanan menerusi penentuan penalti sebelum ini. Jadi kami melalui proses yang sudah membuahkan hasil dan untuk persiapan kali ini, kami menggunakan pendekatan sama.
“Kami lebih fokus berlatih mengambil sepakan penalti. Saya dapat rasakan pemain memahaminya dan mereka akan lebih bersedia apabila beraksi pada perlawanan sebenar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!