Pelajar UiTM sertai kempen Rasuah Busters
SHAH ALAM - Pelajar jurusan Periklanan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyatakan kerjasama bagi menjayakan kempen Rasuah Busters yang dibawakan Sinar Harian.
Kerjasama itu melibatkan pelajar Semester Lima bagi subjek Kempen Periklanan dan Perancangan dengan menghasilkan beberapa iklan berdasarkan idea pelajar dalam bentuk poster sosial media, pengiklanan radio dan papan iklan (billboard).
Pensyarah Periklanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam, Rozlaili Ahmad berkata, secara asasnya, kerjasama antara UiTM dan Rasuah Busters adalah untuk keperluan subjek pelajar-pelajar tersebut.
“Sebelum ini Rasuah Busters menjayakan kempen ‘Mak Kata Jangan’, untuk kali ini pelajar-pelajar ini ditugaskan untuk membuat kempen dengan nama baharu dan pendekatan yang berbeza.
“Seramai 30 orang pelajar terlibat terdiri daripada tiga kumpulan membuat pitching kandungan kreatif untuk Rasuah Busters.
“Selaku penasihat dan tenaga pengajar bagi subjek ini, saya cabar para pelajar ini untuk menghasilkan poster khas iklan paling kreatif untuk Rasuah Busters.
“Poster paling kreatif berpeluang untuk disiarkan dalam akhbar ini,” katanya pada Isnin.
Menurut Rozlaili lagi, tugasan sebegitu sebenarnya bukan hanya untuk membentuk pelajar menghasilkan iklan kempen yang kreatif dan terbaik, malah untuk mendidik pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk sama-sama menjauhi perbuatan rasuah.
“Rasuah tidak mengenal lapisan masyarakat, jadi perlu ada benteng dalam diri setiap daripada kita supaya terhindar daripada perbuatan itu,” tegas beliau.
Sementara itu, Rozlaili menyifatkan kempen Rasuah Busters sebagai sesuatu yang positif dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana media sebelum ini.
“Bagi saya, kempen Rasuah Busters satu inisiatif yang bagus sebab jarang pihak media membuat kempen integriti seperti ini. Jika ada pun, ia hanya bermusim seperti iklan banjir.
“Kempen rasuah ini perlu dilakukan secara berterusan bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rasuah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!