Indonesia hampir jadi seperti India
PERTAMBAHAN kes harian Covid-19 yang berlaku secara mendadak di Indonesia baru-baru ini menyebabkan terlalu ramai pesakit dihantar atau pergi untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital-hospital terutamanya di Pulau Jawa baru-baru ini.
Pada Ahad lalu, negara di Asia Tenggara itu mencipta rekod apabila lebih 21,000 kes harian pandemik tersebut dicatatkan sekali gus mengakibatkan kes keseluruhan Covid-19 meningkat kepada lebih 2.1 juta dengan angka kematian keseluruhan ialah 57,138 orang.
Bagaimanapun, jumlah sebenar kes pandemik tersebut dipercayai jauh lebih tinggi kerana kadar ujian saringan yang dilakukan bagi mengesan pandemik berkenaan di negara yang mempunyai penduduk lebih 270 juta orang itu adalah rendah.
Pertambahan kes itu juga adalah disebabkan penularan varian Delta yang menular di Indonesia apabila berjaya dikesan oleh pihak berkuasa negara tersebut di Kudus, Jawa Tengah pada bulan lalu.
Varian Delta atau sebelum ini dikenali sebagai B.1.617.2 pertama kali ditemui di India pada lewat tahun lalu dan mula merebak dengan cepat pada April lepas.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi berkata, varian Delta yang cepat merebak itu pada asalnya dijangkiti oleh para pekerja migran yang pulang dari India.
Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo pula berkata, pada 13 Jun lalu bahawa 86.11 peratus atau 62 daripada 72 kes keseluruhan Covid-19 di Kudus adalah datangnya daripada varian Delta.
Kudus merupakan wilayah kecil di Pulau Jawa yang mempunyai penduduk lebih 871,000 orang dan merupakan satu-satunya wilayah yang pertama di Indonesia dikesan mempunyai varian Delta Covid-19.
Menurut portal berita Jakarta Post, ekoran tindakan kerajaan yang enggan untuk melaksanakan sekatan sosial secara besar-besaran sebaliknya hanya mengetatkan sekatan terhadap aktiviti masyarakat awam, timbul kebimbangan bahawa adakah sistem penjagaan kesihatan negara tersebut mampu bertahan untuk menghadapi pertambahan pesakit-pesakit Covid-19.
Media-media sosial didapati telah menyebarkan video dan gambar khemah-khemah kecemasan yang didirikan di hospital-hospital di Jakarta sejak Jumaat lalu bagi menampung kebanjiran pesakit Covid-19.
Pesakit-pesakit Covid-19 pula dilaporkan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan katil-katil dan bilik rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital untuk mendapatkan rawatan.
Satu rakaman video yang disebarkan di media sosial menunjukkan seorang pesakit pandemik itu terbaring berdekatan khemah kecemasan tersebut manakala seorang lagi pesakit dihantar ke hospital Bekasi dengan menaiki kenderaan pikap.
Pusat Informasi dan KordinasiCovid-19 di Jawa Barat (Pikobar) pada Khamis lalu melaporkan bahawa kira-kira 90 peratus katil untuk para pesakit Covid-19 di hospital-hospital telah dipenuhi di Jawa Barat.
Ketua Persatuan Perubatan Indonesia Cawangan Jawa Barat, Eka Mulyana pula dilaporkan berkata pada Jumaat lalu bahawa tempat tidur atau katil yang terdapat di hospital-hospital di Bandung sudah dipenuhi dengan para pesakit Covid-19.
Menurutnya, jika kapasiti katil itu sudah dipenuhi dengan para pesakit, ia menunjukkan layanan penjagaan kesihatan di Bandung sudah 'runtuh' kerana fasiliti kesihatan menghadapi lebihan pesakit yang sangat ramai.
Dalam pada itu, menurut agensi berita Antara, Ketua Perhimpunan Doktor Pakar Kardiovaskular Indonesia, Dr. Isman Firdaus dilaporkan berkata pada Isnin lalu, lebih 90 peratus katil di hospital-hospital Pulau Jawa dan Jakarta sudah dipenuhi dengan pesakit-pesakit Covid-19.
Sebelum ini pun, bukan sahaja pesakit tetapi ratusan doktor di Indonesia sudah meninggal dunia akibat pandemik berkenaan.
Seramai 30 orang doktor di Indonesia telah meninggal dunia akibat Covid-19 itu dalam bulan ini.
Ia sekali gus mendorong Persatuan Doktor Perubatan Indonesia (IDI) merayu kepada kerajaan pada Ahad lalu supaya melaksanakan 'lockdown' untuk sekurang-kurangnya dua minggu terutamanya di Pulau Jawa dan disertai dengan penguatkuasaan secara maksimum.
Menurut IDI lagi, secara keseluruhannya sehingga kini, seramai 405 doktor di negara tersebut sudah meninggal dunia akibat Covid-19.
Sebelum ini, pada April lalu, India menghadapi gelombang kedua pandemik itu dengan doktor-doktor dan jururawat terpaksa bekerja keras merawat pesakit-pesakit Covid-19 sehinggakan ada hospital-hospital di negara tersebut mengalami masalah kekurangan katil untuk menampung kebanjiran pesakit Covid-19.
India pernah mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 harian yang tertinggi di dunia apabila Kementerian Kesihatan India pada 6 Mei lalu melaporkan seramai 412,262 orang dijangkiti virus pandemik itu dalam tempoh 24 jam.
Lonjakan kes Covid-19 di India ketika itu itu adalah disebabkan oleh majlis-majlis keagamaan yang dihadiri oleh ramai orang sehingga ada yang tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial selain terdapat perhimpunan kempen parti-parti politik.
Namun, ekoran perintah 'lockdown' dilaksanakan di beberapa negeri di India dan program vaksinasi yang sedang berjalan, portal berita Xinhua melaporkan kes harian di India semakin menurun.
Jumlah kematian akibat Covid-19 itu juga semakin berkurangan apabila India mencatatkan 979 orang yang maut buat pertama kalinya iaitu angka harian di bawah 1,000 orang yang meninggal dunia sejak 14 April lalu.
Justeru, adakah Indonesia akan menjadi seperti India yang menyaksikan pertambahan kes Covid-19 dan kematian akibat pandemik itu? - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!