Tiga penalti Pohang Steelers benam JDT
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 1-4 kepada Pohang Steelers pada aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.
Bagaimanapun, tumpuan dalam pertemuan itu sudah pasti terarah kepada tiga sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil dari Australia, Shaun Evans buat Pohang Steelers.
JDT terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-17 apabila bola percubaannya membias terkena pertahanan Pohang Steelers, Kwon Wan-kyu lalu gagal diselamatkan penjaga gol, Kang Hyeon-mu.
Namun, Pohang Steelers bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Boris Tashchy pada minit ke-27 selepas Velazquez didakwa mengasari Goh Young-Jun dalam kotak penalti.
JDT dirundung malang apabila Pohang Steelers sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Mauricio melakukan terjahan terhadap Mario Kvesic.
Pada mulanya, sepakan penalti yang diambil kapten, Kang Sang-woo dinafikan Farizal Marlias tetapi penjaga gol JDT itu dipersalahkan kerana terlebih dulu keluar sebelum wisel ditiupkan.
Sang-woo yang kembali mengambil sepakan penalti itu tidak mensia-sia peluang kedua bagi meletakkan Pohang Steelers mendahului pada minit ke-34.
Kelab Korea Selatan itu terus memberi tekanan kepada JDT apabila Kwon Gi-pyo mudah menolak bola hantaran Go Young-jun yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-82.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Pohang Steelers memperoleh gol keempat menerusi satu lagi sepakan penalti yang disudahkan Lim Sang-hyeob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!