Penyeludup licik ambil hati penduduk

Geng Jimmy antara rangkaian penyeludup yang dikesan aktif menjalankan kerja penyeludupan rokok melalui pesisiran pantai Semenanjung Malaysia ketika ini.
Geng Jimmy antara rangkaian penyeludup yang dikesan aktif menjalankan kerja penyeludupan rokok melalui pesisiran pantai Semenanjung Malaysia ketika ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan rokok dikesan mengambil kesempatan atas kesusahan penduduk di pesisiran pantai dengan menawarkan khidmat baik pulih jeti mahupun rumah ibadah bagi melindungi aktiviti jenayah kumpulan terbabit.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah (ACFE) Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar mendedahkan, ada di kalangan sindiket ini akan bertemu dengan wakil masyarakat atau ketua penduduk dengan menawarkan kerja baik pulih insfrastruktur secara percuma serta bantuan lain yang diperlukan penduduk di kawasan kampung itu.

"Sindiket ini menggunakan orang tengah untuk berjumpa wakil penduduk.

"Mereka akan menawarkan khidmat baiki rumah ibadah dan dewan komuniti serta jeti-jeti kecil yang rosak kononnya demi kemudahan penduduk kampung," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas beliau, tindakan itu menyebabkan penduduk di situ 'tutup mata' dan membiarkan aktiviti jenayah itu terus berlaku.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif Sinar Harian yang mengaitkan Geng Jimmy dalam kes penyeludupan rokok di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Dedah beliau lagi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ada segelintir penduduk tempatan khususnya nelayan memilih untuk menyeludup rokok daripada meneruskan kerja azali mereka.

"Sindiket penjenayah kini menukar strategi dengan menumpukan penyeludupan menerusi kawasan pesisir pantai, tidak lagi pelabuhan. Faktor ini juga disebabkan kini kerajaan tidak membenarkan lagi kontena rokok dari luar negara yang transit di pelabuhan besar seperti Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor serta permintaan tinggi rokok seludup yang dijual jauh lebih murah di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan harus melihat perkara ini sedalamnya dengan memastikan ada pembangunan dan kebajikan untuk masyarakat di kawasan pesisiran pantai.

Menurutnya, Malaysia kini berada di tangga nombor satu dunia untuk perdagangan rokok seludup, yang mana enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah produk haram hingga negara kerugian lebih RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!