Ledakan kuat gunung berapi Costa Rica
SAN JOSE - Sebuah gunung berapi di barat Costa Rica meledak pada Isnin dan mengeluarkan kepulan asap ke udara hampir dua kilometer yang merupakan ledakan terbesar pernah berlaku sejak bertahun-tahun lalu, kata pihak berkuasa negara berkenaan.
Gunung berapi Rincon de la Vieja itu meledak hampir tiga minit pada awal Isnin dan menghamburkan debu ke kawasan sekitarnya tetapi tidak menyebabkan kematian atau kecederaan dalam kalangan penduduk setakat ini.
Menurut AFP, ledakan itu juga tidak mengakibatkan perpindahan dalam kalangan penduduk.
Gunung itu terletak di sebuah taman negara di wilayah Guanacaste iaitu kira-kira 200 kilometer dari ibu negeri, San Jose.
"Ia merupakan ledakan yang kuat," kata seorang pakar di sebuah badan pemantau gunung berapi dan seismologi Costa Rica, Maarten de Moor seperti dilaporkan oleh AFP.
Walaupun gunung berapi tersebut pernah beberapa kali meledak tetapi ledakan yang berlaku pada Isnin adalah yang terkuat sejak tahun 1990an, katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!