Bank Islam, HDC lancar program pembiayaan Dana GO Halal
SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) bekerjasama melancarkan kemudahan pembiayaan Dana GO Halal bagi mendorong penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke dalam industri halal.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta, program pembiayaan itu akan menyediakan bantuan kewangan bagi penyertaan dalam program latihan dan khidmat nasihat halal anjuran HDC.
Menurutnya, kemudahan dana tersebut yang juga dikenali sebagai Program Pembiayaan PKS GO Halal turut membiayai proses pensijilan halal, kos sumbangan takaful dan memenuhi keperluan modal kerja serta perbelanjaan modal perniagaan.
“Ia menyediakan jumlah pembiayaan bernilai RM100,000 sehingga RM1 juta bagi perniagaan pemilik persendirian dan perkongsian, manakala RM100,000 sehingga RM3 juta bagi perniagaan sendirian berhad dengan tempoh pembayaran semula selama tujuh tahun.
“Menerusi program pembiayaan ini, tiada cagaran yang diperlukan untuk memohon, tetapi usahawan berminat mestilah merupakan ahli HDC dengan perniagaan yang aktif dalam tempoh minimum dua tahun serta mencatatkan keuntungan sekurang-kurangnya setahun daripada dua tahun terakhir,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan HDC yang turut disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Selasa.
Hadir pada majlis yang diadakan secara maya itu ialah Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar; Pengerusi HDC, Datuk Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.
Mohd Muazzam berkata, dengan pemeteraian perjanjian itu, kemudahan pembiayaan tersebut akan mula diperkenalkan kepada lebih 20,000 ahli HDC di seluruh negara pada 1 Julai ini.
Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, kerjasama tersebut turut dilakukan melalui platform digitalnya iaitu integrasi antara Halal Integrated Platform HDC dan platform SMEXpert Bank Islam.
Menurutnya, antara kriteria utama untuk mendapatkan Dana Halal tersebut ialah PKS perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli kepada Halal Integrated Platform (HIP) dan memberi komitmen untuk melengkapkan modul program yang direncanakan HDC.
Katanya, kerjasama strategik itu juga akan menggalakkan penyertaan usahawan PKS dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia dan membantu meningkatkan prestasi perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi sehingga ke peringkat global.
“Saya berharap kerjasama HDC dan Bank Islam ini menjadi pencetus dan satu permulaan yang signifikan serta bermanfaat kepada institusi kewangan serta perbankan Islam yang lain untuk bekerjasama dengan HDC. Ia bagi mengukuhkan lagi industri halal Malaysia seterusnya dapat mewujudkan ekosistem Halal yang lestari dan mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin ketika memberikan ucaptama pada majlis itu menyifatkan kerjasama strategik tersebut amat signifikan dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi negara, industri halal diyakini memiliki peranan dalam menjayakan ‘exit strategy’ terhadap krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Saya yakin 300 PKS yang bakal mendapat manfaat daripada Dana Halal akan membantu usahawan tempatan terutama golongan B40 dan M40 untuk memperluaskan perniagaan mereka dengan berlandaskan kepada ekosistem industri halal yang menyeluruh sehingga ke peringkat global,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!