Kereta bawa beras, minyak masak seludup terbabas
PASIR MAS - Polis merampas beras dan minyak masak yang diseludup selepas menahan sebuah kereta yang terbabas dalam kejadian di jalan Kampung Pak Jak, Bakong di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, rampasan dilakukan ketika anggota dari Balai Polis Meranti dan Bakong melakukan rondaan selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti itu.
Menurutnya, ketika pemantauan pada jam 2.30 pagi, anggota dari kedua-dua buah balai terserempak dengan sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
" Anggota polis bertindak menghampiri kereta itu dan meminta pemandu memberhentikan kenderaannya.
"Bagaimanapun pemandu itu terus memecut dan cuba melarikan diri tetapi gagal apabila kereta yang dipandunya terbabas di tepi jalan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, lelaki itu itu kemudian melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran lokasi bagi mengelakkan ditangkap.
"Pemeriksaan di bahagian bonet menjumpai 17 kampit beras seludup pelbagai jenis dan 10 kotak berisi minyak masak.
"Semakan ke atas nombor kenderaan mendapati tidak sama dengan rekod polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!