Angkat tangan berdoa bukan angkat bendera putih: Nik Abduh
KOTA BHARU - Rakyat sepatutnya tidak diajar untuk menghadapi kekalahan sebaliknya sentiasa berdoa supaya mendapat pertolongan daripada ALLAH SWT dalam segala hal.
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melalui Facebooknya memberitahu, melalui berdoa menjadi kekuatan sebenar dalam setiap ujian ALLAH.
“Angkat tangan berdoa kepadaNya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya dalam entri tersebut pada Selasa.
Kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dipercayai merujuk kepada kempen bekalan makanan yang digerakkan orang ramai berikutan ramai yang berdepan pelbagai ujian kehidupan sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh awal Jun lalu.
Kempen tersebut melibatkan kibaran bendera putih di hadapan rumah bagi menandakan penghuni di rumah berkenaan memerlukan bantuan makanan dan kewangan.
Bagaimanapun, tindakan anak arwah Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Facebook itu menerima kecaman daripada netizen yang menganggap pemimpin itu tidak cakna kepada masyarakat.
Entri tersebut mendapat perkongsian lebih 3,000 komen dan tidak kurang juga yang menyokong kerana menganggap lebih afdal memohon kepada ALLAH SWT.
Ramai yang mengecam kerana berpendapat ia sepatutnya dilaksanakan bagi membantu mereka yang memerlukan terutama yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!