1,000 surat kebenaran kepada pengusaha nanas: Ronald
MUAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengeluarkan hampir 1,000 surat kebenaran pergerakan kepada pengusaha nanas seluruh negara bagi membolehkan mereka melaksanakan aktiviti pertanian, pemasaran dan pemprosesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut membantu memasarkan 22 tan nanas dalam usaha memastikan hasil buah pekebun terjejas dapat dijual seperti biasa sekali gus memberi kelegaan kepada golongan berkenaan.
“Dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 dari 1 Jun hingga kini, LPNM juga membantu pekebun terjejas dengan menyediakan keperluan logistik bagi penghantaran dan pemasaran nanas kepada peraih dan pemborong.
“Bagaimanapun ketika PKP 3.0 menunjukkan penurunan ketara masalah ketidakbolehpasaran oleh pekebun berbanding PKP 1.0 dan 2.0,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada penduduk terjejas dan petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Selasa.
Beliau berkata, masalah ketidakbolehpasaran itu dapat dikurangkan dalam tempoh PKP 3.0 ketika ini dan ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pekebun dan pengusaha dapat memasarkan hasil pertanian mereka mengikut prosedur operasi standard yang dapat mengimbangi antara keperluan ekonomi dan kesihatan rakyat.
Mengenai program berkenaan, Ronald berkata, sebanyak 1,000 kotak makanan termasuk beras, gula, tepung dan produk makanan berasaskan nanas diedarkan bagi meringankan beban golongan terbabit susulan penularan Covid-19.
Beliau berkata, pada masa sama ia bertujuan mendidik rakyat supaya mengamalkan pemakanan nanas, yang baik untuk mencegah pelbagai penyakit serta meningkatkan sistem pertahanan badan terutamanya ketika pandemik ini.
“Kempen ini juga dapat membantu pekebun dan usahawan pemasar LPNM untuk meningkatkan jualan dan permintaan nanas di pasaran,” katanya menambah ia selari dengan sasaran LPNM untuk meningkatkan hasil pengeluaran nanas varieti premium MD2 kepada 50 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!