Ambil alih 4 konsesi, kerajaan komitmen penuhi manifesto PRU14
KUALA LUMPUR - Pengambil alihan empat konsesi lebuh raya di Kuala Lumpur adalah komitmen kerajaan menunaikan manifesto PRU14 lalu tanpa menjejaskan projek pembangunan rakyat yang lain.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses rundingan dan perbincangan antara kerajaan dengan Gamuda Berhad pemegang majoriti konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART sedang berjalan.
"Ini adalah komitmen kita dalam pilihan raya umum yang lalu dan perbincangan sedang berjalan supaya cadangan itu dapat dijalankan secara berperingkat kerana melibatkan kesan kewangan negara yang besar.
"Kita harus memastikan ia tidak akan menjejaskan kepada pembangunan ekonomi lain sementara kita ingin laksanakan manifesto, kita juga mahu pembangunan ekonomi terus berkembang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan melawat Hotel Tamu & Suites di Kampung Baru di sini, hari ini.
Azmin menjelaskan, anggaran kos pengambil alihan konsesi tersebut masih di peringkat rundingan dan akan dimaklumkan oleh kementerian terlibat sebaik persetujuan mengenai perkara itu dimuktamadkan.
"Kementerian terlibat akan keluarkan kenyataan sebaik sahaja semua urusan ini selesai, semua perkara perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu komitmen ini menjejaskan perkara lain yang perlu diberi perhatian," katanya.
Semalam, menerusi kenyataan media Pejabat Perdana Menteri menjelaskan rundingan dengan Gamuda Berhad bagi proses pengambil alihan konsesi lebuh raya itu ke arah pemansuhan tol.
Sebagai menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran balik pinjaman, caj kesesakan akan diperkenalkan sementara lebihan kutipan tersebut akan digunakan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Malaysia.
Kadar caj kesesakan itu sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari sementara bukan waktu puncak antara jam 11 hingga 5 pagi penggunaan lebuh raya adalah percuma.
Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!