Moratorium: Bank dinasihat tidak kenakan caj tambahan
PUTRAJAYA - Kerajaan meminta bank tidak mengenakan caj tambahan atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dinyatakan beliau ketika mengadakan perbincangan bersama pihak berkenaan baru-baru ini.
"Fokus moratorium adalah untuk membantu aliran tunai kepada mereka yang terkesan tidak kira B40, M40 atau T20 sekalipun.
"Kita (sudah) cakap dengan bank yang mana (perlu) tolong (sama ada) terkesan atau tidak terkesan kena tolong. Jadikan proses (mohon moratorium) mudah.
"Masa kita turun padang ini (pemberian moratorium) yang mereka (rakyat) mahukan," katanya ketika sidang akhbar mengenai Pemulih secara maya pada Selasa.
Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai tindakan bank komersial yang melaksanakan moratorium penuh ketika rakyat dan perniagaan berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Menurutnya, konsep pelaksanaan moratorium automatik yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin juga adalah sama seperti mana dilaksanakan tahun lalu.
Bagaimanapun dalam masa sama, Tengku Zafrul memberitahu, pemberian moratorium pinjaman bank selama enam bulan dalam Pemulih bukan tanpa faedah.
Ini kerana katanya, moratorium yang membawa maksud penangguhan bayaran balik pinjaman itu adalah sama seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
"Moratorium (dalam Pemulih) adalah sama dengan moratorium sebelum ini. Ia bukan tanpa faedah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!