'Bukan himpunan bangkit sentimen kebencian kaum'
KOTA ISKANDAR - Himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) 8 Disember depan bukan untuk membangkitkan sentimen kebencian sesama kaum.
Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, sebaliknya himpunan itu bertujuan menyatakan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Negara tidak perlu diungkit-ungkitkan.
Katanya, sudah dijelaskan perhimpunan berkenaan bertujuan sebagai satu perhimpunan atas rasa terima kasih kepada kerajaan untuk mengambil langkah tidak mengesahkan ICERD.
"Saya rasa bahawa kita sudah menjelaskan tujuan berhimpun pada 8 Disember ini sebagai satu perhimpunan atas rasa terima kasih kita kepada kerajaan untuk mengambil langkah tidak mengesahkan konvensyen antarabangsa itu.
"Kita sudah ada banyak perhimpunan dan tidak ada langsung ia (perhimpunan 8 Disember) menggambarkan bertujuan membangkit sentimen kebencian kita sesama kita tetapi hanya dengan jelas menyatakan perkara yang terkandung dalam perlembagaan, tidak usahlah diungkit-ungkitkan," katanya.
Beliau mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak supaya perhimpunan tersebut yang akan diadakan di ibu negara, tidak diteruskan berikutan isu rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]
[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan tolak ICERD tidak perlu]
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!