Utamakan keselamatan atlet ke Sukan Olimpik, Paralimpik Tokyo 2020

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan aspek keselamatan atlet akan diberikan penekanan utama dalam persediaan akhir kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kelak.

Menurut Reezal Merican, aspek berkenaan diberikan penekanan utama berikutan Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kes-kes Covid-19 tertinggi di rantau ini berikutan protokol yang ditetapkan kali ini agak ketat.

Justeru katanya, kesemua atlet perlu menjalani tiga kali ujian calitan (swab test) sebelum berlepas, kelak.

“Kita juga berharap kesemua atlet untuk sentiasa berjaga-jaga kerana walaupun telah berlatih dengan hebat dengan tahap kesiap siagaan yang tinggi, tetapi akhirnya terhalang kerana didapati positif Covid-19.

“Walaupun mereka ini divaksin sebanyak dua kali dengan mengambil langkah-langkah berhati-hati serta langkah-langkah keselamatan tetap perlu diambil termasuklah ketika mereka berada di sana (Tokyo) kelak, supaya gelembung selamat ini (the safe bubble) sentiasa terjaga dan tidak ‘bocor’ dalam tempoh mereka bertanding nanti.

“Keadaan kali agak berbeza dan kita tidak mahu ada berita sedih nanti; bukan kerana cedera atau terkeluar, tetapi kerana atlet didapati positif Covid-19,” katanya pada sidang media maya sempena Persediaan Akhir Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Selasa.

Sidang media maya berkenaan turut dihadiri oleh Presiden Majlis Olimplik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu Reezal Merican berkata, beliau akan melakukan tinjauan bagi melihat persiapan kesemua atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sabtu lalu tinjauan pertamanya ke Velodrom Nasional Malaysia bagi melihat persiapan dua atlet acara berbasikal negara, Azizul Hasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan teruskan untuk tinjauan bagi melihat keseluruhan 25 atlet Olimlpik dan 19 atlet Paralimpik yang telah pun mengesahkan penyertaan ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Kita turut menanti pengesahan kelayakan untuk lima lagi atlet samada berjaya atau tidak untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain 12 atlet Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!