Abu Dhabi beri 'kebebasan' kepada individu sudah divaksin

Abu Dhabi mengumumkan sistem kod warna pada aplikasi kesihatan yang memperincikan rekod ujian dan vaksinasi pada awal bulan lalu. - Foto: Agensi
Abu Dhabi mengumumkan sistem kod warna pada aplikasi kesihatan yang memperincikan rekod ujian dan vaksinasi pada awal bulan lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

ABU DHABI - Ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya akan membenarkan individu sudah divaksin berada di tempat awam termasuk sekolah, pusat beli-belah dan restoran berkuat kuasa 20 Ogos depan sebagai usaha untuk membendung penularan Covid-19.

Pengumuman itu dibuat selepas Abu Dhabi mengumumkan sistem kod warna pada aplikasi kesihatan yang memperincikan rekod ujian dan vaksinasi pada awal bulan lalu yang menyaksikan individu yang mempunyai status 'hijau' diberi kebebasan untuk bergerak ke seluruh bandar tersebut.

Sementara itu, individu belum divaksin dilarang memasuki tempat awam termasuk restoran, kemudahan rekreasi dan gimnasium, namun dibenarkan untuk memasuki pasar raya serta farmasi.

"Keputusan ini selaras dengan strategi kerajaan untuk memerangi pandemik Covid-19," ujar Jawatankuasa Kecemasan, Krisis dan Bencana Abu Dhabi sambil menambah langkah baharu itu dikecualikan daripada program inokulasi termasuk remaja dan kanak-kanak di bawah usia 15 tahun serta ibu hamil dan individu yang mengalami masalah kesihatan.

Difahamkan, UAE mengikut jejak langkah beberapa negara Teluk seperti Arab Saudi dan Kuwait yang mengenakan sekatan lebih ketat terhadap golongan belum divaksin.

Sejak akhir minggu lalu, hanya individu yang sudah diberikan suntikan vaksin dibenarkan memasuki pusat beli-belah dan premis perniagaan di Kuwait City manakala hanya warga asing yang mendapat suntikan penuh diberi kebenaran masuk ke negara itu bermula 1 Ogos depan.

Sementara itu, Riyadh menyatakan vaksinasi diwajibkan kepada mana-mana individu yang mahu memasuki institusi pengajian, pejabat kerajaan dan swasta serta menggunakan pengangkutan awam berkuat kuasa awal bulan Ogos. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!