'Ada udang di sebalik batu'

Kira-kira 50 keluarga Yahudi menceroboh kawasan berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat pada bulan lalu dan membina penempatan haram mereka. - Foto: AFP
Kira-kira 50 keluarga Yahudi menceroboh kawasan berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat pada bulan lalu dan membina penempatan haram mereka. - Foto: AFP
A
A
A

RAMALLAH - Komuniti Yahudi pada Isnin secara tiba-tiba akur dengan desakan penduduk Palestin supaya meninggalkan kawasan penempatan haram di Tebing Barat yang turut mencetuskan siri protes selama beberapa minggu.

Di bawah perjanjian itu, kumpulan pendatang Yahudi bersedia meninggalkan kawasan penempatan haram Eviatar berhampiran bandar Nablus dalam tempoh beberapa hari namun rumah bergerak mereka akan kekal di lokasi tersebut.

Selain itu, pasukan tentera rejim Zionis dilaporkan akan menubuhkan pangkalan mereka di situ yang jelas menunjukkan rancangan itu seperti ‘ada udang udang di sebalik batu’.

Menurut kenyataan daripada pemimpin komuniti itu, Yossi Dagan, Kementerian Pertahanan kononnya bersetuju untuk mengkaji tuntutan hak pemilikan tanah sebagai prospek bagi mencapai penyelesaian pada masa hadapan.

Jelasnya lagi, perjanjian itu telah diluluskan Perdana Menteri, Naftali Bennett yang merupakan pelobi pendatang haram Yahudi dan Menteri Pertahanan, Benny Gantz serta Menteri Dalam Negeri, Ayelet Shaked yang turut disahkan oleh pejabat beliau.

Seorang lagi pemimpin komuniti itu, Tzvi Succot berkata, dia menyokong perjanjian tersebut kerana percaya ia bakal membawa kepada penempatan kekal komuniti Yahudi.

“Apa yang penting adalah rumah dan harta benda kami masih kekal di sini,” ujarnya dengan angkuh.

Timbalan Ketua Majlis Perbandaran Beita, Moussa Hamayel menegaskan penduduk Palestin bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya kompromi tersebut kerana tiada jaminan komuniti Yahudi itu akan terus meninggalkan kawasan berkenaan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!