Sterling, Kane noktahkan perjalanan Jerman
ENGLAND menempah tempat ke saingan suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Jerman 2-0 dalam pusingan 16 pasukan terakhir di Stadium Wembley pada awal pagi Rabu.
Raheem Sterling dan Harry Kane menjadi pemusnah dengan kedua-dua pemain itu meledak gol pada separuh masa kedua sekali gus menamatkan badi kemenangan England ke atas Jerman dalam semua kejohanan utama sejak 1966.
Aksi separuh masa pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dengan percubaan terbaik buat Jerman hadir pada minit ke-33 selepas Timo Werner menerima lorongan cantik daripada Kai Havertz.
Namun, penyerang Chelsea itu gagal menyudahkan peluang tersebut selepas percubaan leretnya bijak dibaca oleh penjaga gol England, Jordan Pickford.
Manakala, peluang terbaik England pula muncul di penghujung babak pertama selepas Sterling memintas hantaran kebelakang oleh pemain tengah Jerman, Thomas Muller sebelum melorongkan bola kepada Kane.
Bagaimanapun, sentuhan pertama Kane terlalu jauh dan sempat dikeluarkan oleh pertahanan Jerman Mats Hummels pada ketika penjaga gol skuad Die Mannschaft, Manuel Neuer sudah tertewas.
Gol yang dinanti-nantikan oleh England muncul jua melalui jaringan Sterling yang tenang menyudahkan hantaran Luke Shaw pada minit ke-75.
Jerman cuba bangkit dan hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas hantaran lemah Sterling dipintas oleh Havertz sebelum melorongkan bola kepada Muller, namun percubaan pemain Bayern Munich itu tersasar ke sebelah kiri gawang gol England.
Kane yang terus diberikan kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan The Three Lions itu akhirnya menamatkan kemarau jaringan apabila meledak gol kedua England selepas memanfaatkan hantaran pemain gantian, Jack Grealish pada minit ke-86.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!