Tahun 2020 sedih, separuh tahun 2021 masih berduka
HARI ini tanggal 30 Jun, genap separuh tahun kita melalui kalendar 2021.
Tahun yang kita mengharapkan ada sinar di hujung terowong, tetapi nampaknya cahaya tersebut masih samar-samar di kejauhan.
Masih terbayang-bayang pada 1 Januari lalu, kita mengucapkan selamat tinggal kepada 2020 yang penuh menyedihkan.
Tetapi rupa-rupanya, pejam celik sudah 180 hari, 4,320 jam dan 259,200 minit kita melalui kehidupan dalam separuh tahun 2021.
Tahun yang bagaikan satu 'vakum' kepada kebanyakan kita apabila masih banyak sektor ekonomi tidak boleh beroperasi, pelajar masih tidak boleh bersekolah dan larangan rentas negara serta negeri terus berlanjutan.
Ya, natijah daripada Covid-19 sangatlah dahsyat. Kehilangan nyawa orang tersayang adalah episod sedih yang sangat meruntun hati ramai. Apatah lagi, apabila ia melibatkan beberapa orang dalam satu keluarga.
Pada saat kita menyangka tahun 2021 lebih baik, rupa-rupanya jumlah kematian berlipat kali ganda.Sebagai perbandingan, jumlah kematian Covid-19 pada tahun 2020 di Malaysia hanya sekitar 471 orang, tetapi bayangkan hanya untuk enam bulan tahun ini (tidak termasuk 30 Jun) virus itu telah meragut sebanyak 4,637 mangsa.
Ini menunjukkan peningkatan kematian Covid-19 untuk separuh tahun ini sahaja hampir mencecah 10 peratus.
Selain mengorbankan nyawa, Covid-19 turut meragut ekonomi banyak lapisan masyarakat.
Ada peniaga yang lingkup perniagaan mereka apabila kedai terpaksa ditutup dan ada pekerja yang hilang pendapatan kerana dibuang kerja.
Memang banyak keluh kesah rakyat, malah sejak Isnin tular satu gerakan kibar bendera putih sebagai cara keluarga serta individu susah memohon bantuan.
Bagaimanapun, pengumuman kerajaan menerusi pakej RM150 bilion di bawah Pakej Pemulih sedikit sebanyak boleh memberi kelegaan kepada sebahagian besar rakyat.
Walaupun ada yang berkata pakej Pemulih masih tidak cukup besar dan sebagainya, tetapi inisiatif itu bukti kerajaan tidak berpeluk tubuh.
Semoga kita melalui separuh tahun kedua 2021 dengan lebih baik dan lebih cepat bertemu cahaya di hujung terowong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!