Pemuda OKU ambil upah pungut sampah sara keluarga
TUMPAT - Ketika ramai buntu mencari jalan meneruskan kelangsungan hidup dalam kepayahan ekoran pandemik Covid-19, seorang orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal (sawan) berikhtiar mengambil upah memungut sampah di Kampung Kutan Sungai, Wakaf Bharu di sini.
Pemuda itu, Wan Ahmad Nabil Wan Abdul Wahib, 30, mengambil upah memungut sampah menggunakan sebuah motosikal beroda tiga sejak penghujung tahun lalu bagi menampung hidupnya bersama ibu bapa yang sudah tua dan empat adik termasuk seorang masih bersekolah di Tingkatan Lima.
Katanya, tidak pernah terlintas di fikiran daripada seorang tukang urut bertukar ‘kerjaya’ kepada seorang pemungut sampah dari rumah ke rumah dan dari kedai ke kedai.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan saya tidak ada pelanggan langsung untuk mengurut hingga cemas memikirkan jalan untuk mendapatkan wang.
“Timbul idea untuk menyediakan perkhidmatan mengambil upah mengambil sampah dari rumah dengan upah RM30 sebulan manakala bagi kedai makan RM50 sebulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tepi jalan di Kampung Kutan di sini pada Selasa.
Menurut anak kelima daripada 14 beradik itu, sehingga kini dia mempunyai 40 pelanggan tetap yang menggunakan perkhidmatannya itu.
“Saya akan bangun awal pagi selesai Subuh untuk keluar dengan motosikal roda tiga bagi mengutip sampah selang sehari daripada rumah atau kedai pelanggan untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah.
“Setakat ini, kawasan kutipan sejauh hingga lima kilometer (km) sahaja kerana kekangan PKP tidak membolehkan rentas daerah,” katanya.
Ujar pemegang kad OKU itu, segala ikhtiar yang dilakukan itu kerana kasih sayang dan ingin berbakti kepada orang tuanya yang sudah uzur selain membantu adik-beradiknya yang lain.
“Saya belum berkahwin tetapi saya tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjaga dan menyara kedua ibu bapa serta adik-beradik.
“Saya menerima RM450 sebulan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan daripada penghulu kampung yang membantu mengubah suai motosikal untuk menjalankan kerja-kerja mengutip sampah, kalau boleh saya nak motosikal baharu kerana yang ada sudah buruk serta selalu rosak,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubunginya 017 946 9285 atau salurkan ke akaun Wan Ahmad Nabil Wan Abdul Wahib Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301041000446946.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!