Yayasan Amal Mabrur Malaysia platform alumni jemaah haji
KUALA LUMPUR - Yayasan Amal Mabrur Malaysia menyediakan platform terbaik dalam membantu alumni jemaah haji dan umrah kekal istiqamah selepas pulang menunaikan ibadah di tanah suci.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, setiap jemaah pastinya mengimpikan umrah dan haji yang mabrur khususnya apabila tiba di tanah air.
"Mereka (jemaah) sentiasa berusaha untuk kekal istiqomah dalam menunaikan solat,mengaji dan pelbagai kebaikan seperti yang diamalkan di tanah suci. Bagaimanapun, rutin ini bukan mudah jika tidak disusuli usaha, sokongan dan jiwa yang kental.
"Sehubungan itu, dengan adanya Yayasan Amal Mabrur Malaysia ini ia menyediakan wadah dan platform buat para jemaah untuk meneruskan kemabruran menerusi pelbagai aktiviti dan ilmu bermanfaat," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Yayasan Amal Mabrur Malaysia, Liqo' Mahabbah Haji & Umrah di Menara Tabung Haji di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi, Pengarah Urusan dan Penerbit Kumpulan Media Karangkraf merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Pengerusi dan Pengasas Yayasan Amal Mabrur Malaysia, Mohammad Hasnil Abu Bakar.
Tambah Khalid, insan tidak dapat menentukan sama ada mereka memperoleh umrah ataupun haji yang mabrur.
Namun, 'kenikmatan' mabrur dapat dirasai apabila berupaya memelihara solat jemaah, menjadikan al-Quran sebagai panduan termasuk meninggalkan segala perbuatan yang dilarang dan meningkatkan kebaikan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kelebihan yayasan, Mohammad Hasnil memberitahu, penubuhan yayasan tersebut adalah untuk membantu alumni jemaah haji dan umrah berkongsi kemabruran mereka bersama masyarakat dalam kehidupan seharian.
"Selain pengisian santapan jiwa bersama para jemaah haji dan umrah pihak yayasan juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan agenda ummah seperti kursus umrah bermodul kepada peserta yang bakal menunaikan ibadah umrah bersama Program Umrah Yayasan Amal Mabrur Malaysia.
"Ini termasuklah, simulasi haji cilik, ziarah mahabbah ke rumah anak yatim dan maahad tahfiz yang ditimpa musibah serta melawat hospital kerajaan bagi menyantuni pesakit," ujarnya.
Program anjuran Yayasan Amal Mabrur Malaysia yang dihadiri 500 tetamu itu turut diserikan dengan slot Bicara Santai bersama PU Azman yang bertajuk, Mabrur Till Jannah dan pelancaran buku, Mabrur 'The Best Promise Ever'.
Sebarang keterangan lanjut mengenai Yayasan Amal Mabrur Malaysia, orang ramai boleh hubungi talian 03-6243 5844 atau 013-779 5844.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!