'Jajaran Harapan' waktu krisis bakal cetus kemarahan rakyat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik tempatan berpandangan tindakan mana-mana parti termasuk UMNO untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui pembentukan jajaran politik baharu pada saat krisis Covid-19, bakal berdepan risiko dilabel pengkhianat rakyat.

Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, semua individu terlibat dengan usaha penubuhan kerajaan baharu pada saat rakyat menderita akibat krisis Covid-19 ketika ini, bakal tercatat dalam sejarah sebagai mementingkan laba politik, sekiranya berkeras mahukan perkara itu berlaku.

Jelas beliau, para pencatat sejarah akan menyimpulkan masalah dihadapi negara pada sepanjang krisis Covid-19 ketika ini, bukannya berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) semata-mata, tetapi tabiat segelintir pemimpin politik yang masih mahu berpolitiking bagi menjayakan jajaran baharu.

"Jika masih ada orang sibuk hendak buat jajaran baharu pada saat genting ketika ini, barangkali ada ahli politik yang akan menjadi mangsa kemarahan rakyat.

"Ini kerana mereka sibuk mahu berpolitiking, sedangkan rakyat pada saat krisis ini sedang bergelut untuk hidup...bahkan ramai yang sudah bunuh diri,"katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

UMNO baru-baru ini memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memutuskan tarikh Parlimen bersidang, seolah-olah membayangkan tindakan keluar kerajaan jika ia tidak berlaku.

Perkara itu diperkukuhkan lagi dengan spekulasi UMNO akan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP untuk menubuhkan kerajaan baru bernama Jajaran Harapan demi mengangkat Anwar sebagai PM.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar daripada PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang kunci sama ada cepat atau lambatnya berlaku Jajaran Harapan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian difahamkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bakal mengadakan mesyuarat pada 7 Julai ini susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen seawal bulan September akan datang.

No Image Caption

Berikutan itu, Zainal berpandangan persidangan Parlimen yang kembali dibuka pada masa terdekat, perlu difokuskan sepenuhnya UMNO dan parti-parti lain bagi tujuan membincangkan permasalahan rakyat semata-mata.

Jelas beliau, titah Yang di-Pertuan Agong jelas menyatakan sidang Parlimen perlu digunakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 selain menjadi platform semak dan imbang kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan beliau tidak terkejut sekiranya Ahmad Zahid benar-benar memacu UMNO dalam merealisasikan kerjasama dengan Anwar dan DAP bagi menjayakan pembentukan jajaran baharu.

"Berdasarkan beberapa situasi sebelum ini, saya yakin faktor sejarah hubungan Ahmad Zahid dan Anwar akan terus mengikat beliau dengan Presiden PKR itu.

"Saya tidak terkejut sekiranya Ahmad Zahid secara terbuka membawa sebilangan ahli Parlimen UMNO untuk menyertai jajaran baharu direncana Anwar...Mungkin mencontohi langkah diambil (bekas Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Azmin Ali, sokongan kepada Anwar diberikan atas kapasiti persendirian dan bukan melalui parti.

"Jika senario ini berlaku pada saat pandemik, Ahmad Zahid dan Anwar dikhuatiri bukan sahaja berdepan penolakan besar orang Melayu, bahkan rakyat negara ini yang bosan dengan karenah politiking yang tidak berkesudahan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Saran sektor perkilangan ditutup menyeluruh

Nasihat Agong bukan remeh, sidang Parlimen wajar disegerakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!