Lelaki kibar bendera putih tanda protes terhadap ahli Parlimen
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menetap di sekitar Ampang, di sini bertindak mengibarkan bendera putih selepas mendakwa diabaikan oleh ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Foto lelaki berkenaan yang bertindak demikian mula tular di media sosial sejak Rabu dan turut mendapat perkongsian daripada para netizen.
Menurut perkongsian laman Facebook Friends of Selangor, lelaki itu dipercayai merupakan penduduk setinggan yang menetap di sekitar kawasan 3 Towers, Ampang Hilir, di sini.
Selain itu, pengasas #WeListenPack dikenali sebagai Kak Mira menerusi ciapan di laman Twitter turut memaklumkan lelaki itu dikenali sebagai Pak Atan oleh penduduk setempat malah dia juga telah mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.
Katanya, tindakan Pak Atan mengibarkan bendera putih adalah sebagai tanda protes terhadap kegagalan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membela nasibnya.
"Dia bukan kibar bendera putih sebab tak ada makanan ya, diorang (mereka) dah dibantu team kami beberapa hari lepas. Diorang marah sebab diabaikan oleh MP (ahli Parlimen) mereka. Pasal tempat tinggal," ciapnya.
Sebelum ini, satu kempen mengajak orang ramai untuk mengibar bendera berwarna putih sekiranya memerlukan bantuan tular dalam pelbagai platform media sosial pada Isnin.
Kebanyakan medium Facebook, Instagram dan Twitter mendapati, saranan mengibarkan bendera putih disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran musim pandemik.
ARTIKEL BERKAITAN: Kempen kibarkan bendera putih tarik perhatian warganet
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!