Bung Moktar sokong keputusan longgar SOP di Sabah
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal menyokong penuh keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini.
Beliau mengakui memang ada berlaku percanggahan keputusan itu dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat, namun yakin masing-masing mempunyai pendapat sendiri dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
"Selaku pemimpin dalam negeri Sabah, keputusan kerajaan ini adalah keputusan bersama setelah kita berbincang. Saya sendiri berdiri teguh di belakang keputusan Ketua Menteri untuk meletakkan SOP Sabah berlandaskan data dan fakta yang kita peroleh dari masa ke masa.
"Tetapi ini bukannya menidakkan kehendak MKN Pusat sebab MKN juga ada sudut tersendiri untuk tujuan yang sama dalam mencegah virus Covid-19 ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan Sabah yang melonggarkan SOP namun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak boleh melonggarkan SOP yang sedang berkuatkuasa.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut menjelaskan, walaupun kerajaan Sabah memutuskan untuk melonggarkan SOP namun ia dilaksanakan dengan ketat.
"Setelah kerajaan negeri melihat keadaan di Sabah melalui data-data yang kita peroleh dari masa ke masa, maka kita telah memutuskan untuk melonggarkan sop bagi mempertingkat memulihkan ekonomi Sabah dalam pelbagai industri.
"Bagaimanapun, kita juga meletakkan SOP yang tegas iaitu satu meja tidak melebihi dua orang atau mengikut kapasiti meja untuk dine-in di restoran dan kita masih memperketatkan untuk tidak membuka kawasan yang kita lihat boleh mendatangkan musibah," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabantangan berharap supaya MKN Pusat melihat perkara itu dari sudut positif.
"Apa yang penting kerajaan perlu mempercepatkan proses vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk di Sabah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Sabah benarkan 'dine in' bermula Selasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!