Selangor tawar subsidi internet buat golongan M40
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menawarkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) sebagai inisiatif bagi membantu rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.
Menerusi inisiatif julung kali itu, kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terkemuka, Telekom Malaysia (TM) memperuntukkan subsidi internet khusus buat golongan B40 di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif ini amat diperlukan kerajaan negeri dalam usaha menerapkan pendigitalan dan membantu rakyat mengharungi tempoh mencabar sewaktu serangan pandemik ini.
"Kita semua sedia maklum, pandemik Covid-19 telah melanda lebih setahun sekali gus memberi kesan yang besar kepada pendapatan rakyat.
"Banyak inisiatif kerajaan negeri sebelum ini tertumpu bagi membantu golongan B40, namun kita juga sedar bahawa golongan M40 turut terkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Amirudin turut membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menerusi inisiatif SISM40, setiap isi rumah berpeluang menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej ditawarkan di bawah Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.
Dalam perkembangan sama, Amirudin turut meminta agar lebih ramai pihak swasta tampil bagi bersama-sama menyalurkan bantuan kepada rakyat ketika waktu mencabar ini.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada TM kerana bersama-sama dengan kerajaan negeri membantu merealisasikan program ini," katanya.
Dalam pada itu, rakyat Selangor yang layak boleh memohon SISM40 bermula 1 Julai dan sebarang maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan serta proses pendaftaran adalah melalui laman sesawang https://www.sism40.com.my/ atau talian bantuan 03-50304595/4596.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!