India kurangkan duti import minyak sawit mentah

No Image Caption
A
A
A

NEW DELHI - Kerajaan India mengurangkan duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 10 peratus daripada 15 peratus, di tengah-tengah kenaikan harga minyak makan pada masa ini.

Kadar cukai baharu tersebut akan berkuat kuasa pada 30 Jun 2021 hingga 30 September 2021, demikian menurut satu kenyataan pada Selasa.

Berikutan itu duti import ke atas MSM yang turut meliputi ses pembangunan pertanian dan surcaj kini berkurangan kepada 30.25 peratus daripada 35.75 peratus sebelum ini, demikian menurut Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai.

Harga pengguna bagi minyak makan dalam pasaran domestik India telah meningkat secara ketara sejak setahun lepas.

India sememangnya bergantung kepada sumber import bagi memenuhi hampir 70 peratus keperluan terhadap minyak makan tersebut.

Negara itu telah mengimport sebanyak 769,602 tan minyak sawit pada Mei lepas, termasuk 392,129 tan MSM dan 1,500 tan minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dari Malaysia, demikian menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!