Bukan salah Danielson, Sweden tewas
PENGENDALI Sweden, Janne Andersson tidak menyalahkan pemain pertahanannya, Marcus Danielson atas layangan kad merah yang diterima pemain berkenaan pada aksi kalah mati Euro 2020 berdepan Ukraine di Hampden Park, Glasgow pada Rabu.
Malah, Andersson turut menafikan insiden pada minit ke-9 masa tambahan itu sebagai antara penyebab utama yang menyumbang kekalahan 1-2 skuad kendaliannya itu biarpun dilabel selaku antara pasukan pilihan untuk muncul juara kali ini.
“Bagi saya, kami adalah pasukan yang lebih baik sehinggalah insiden layangan kad merah itu berlaku dan sejujurnya (kekalahan), ini adalah perkara paling buruk pernah saya harungi selama terlibat dengan bola sepak.
“Kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan namun akhirnya tetap tersingkir pada saat-saat akhir. Ia sungguh kejam.
“Apa pun bagi saya, kekalahan ini bukan atas kesalahan individu. Sebab itu, setelah perlawanan tamat, saya telah menemui dan memeluk Danielson,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan Sweden tewas hasil jaringan pemain gantian Ukraine, Artem Dovbyk pada babak kedua, masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan Oleksandr Zinchenko pada minit ke-27, sebelum pemain sayap, Emil Forsberg menyamakan kedudukan buat Sweden pada minit ke-43.
Sweden terpaksa beraksi dengan 10 pemain di sepanjang tempoh masa tambahan berkenaan, setelah Danielson dilayangkan kad merah pada minit ke-99.
Kesempatan berkenaan dimanfaatkan Ukraine untuk terus mengasak ke gawang Sweden dan menyaksikan pemain gantian, Artem Dovbnyk menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pasukan pada masa kecederan.
Sementara itu Anderron mengakui berbangga dengan pencapaian skuad kendaliannya itu pada Euro 2020, biarpun kesemua pemain dilihat agak kecewa atas kekalahan berkenaan.
Malah katanya, mereka juga telah beraksi pada kejohanan yang telah dianjurkan dengan baik kali ini.
“Kami begitu hampir kepada ‘sesuatu’ pada edisi Euro kali ini. Namun bagi saya, kami tetap tetap berjaya kerana berjaya sampai ke peringkat kalah mati.
“Pada Euro 2004, kami berjaya ke suku akhir, tetapi tewas 4-5 kepada Belanda menerusi penentuan sepakan penalti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!