Digitaliasasi perlu dikuasai pemain industri

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Pemain industri digesa untuk menguasai dunia digitalisasi bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi semasa dan selepas pandemik Covid-19.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sudah tiba masanya pemain industri merubah landskap pentadbiran dan proses urusniaga secara digital menjadi normal baharu dalam dunia perniagaan.

Menurutnya, melalui transformasi digital ia dapat mengelak pemain industri berdepan dengan cabaran penutupan operasi perniagaan mereka.

“Jika pemain industri mahu terus bertahan, mengekalkan pertumbuhan dan mampu berdaya saing, mereka (organisasi) sama ada dari sektor swasta dan awam perlu menguasai digitalisasi sebagai normal baharu bagi operasi mereka pada masa hadapan.

“Jadi, menerusi teknologi digital ia membolehkan proses urusniaga dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap serta fleksibel. Selain itu ia dapat meningkatkan kualiti dan memudahkan urusniaga dengan pelanggan seperti e-payment, e-dagang dan lain-lain.

"Ini dapat membantu meningkatkan produktiviti serta keuntungan syarikat seterusnya memberi kesan positif kepada perniagaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ditanya mengenai program Penjana melalui Program Latihan Upskilling & Reskilling (MyReskill IOT), Mohammad Fakhruddin berkata, program itu anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur.

Jelasnya, sebanyak 5,000 syarikat di negara ini akan dapat membantu industri tempatan terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi teknologi industri 4.0 dalam organisasi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Pihak syarikat yang terpilih akan diberikan peralatan IOT secara percuma dan akan dibimbing untuk menggunakan teknologi ini bagi meningkatkan keupayaan mereka.

“Selain itu juga, kerajaan juga telah melancarkan Dasar Industri 4.0 (Industry4wrd) yang menggariskan pelbagai inisiatif untuk membantu PKS beralih kepada proses dan sistem di bawah Industri 4.0 bagi meningkatkan produktiviti mereka," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!