Simpan minuman keras tidak bercukai dalam restoran
KOTA KINABALU - Taktik sindiket penjualan minuman keras tidak bercukai menggunakan restoran menjual makanan halal sebagai tempat penyimpanan minuman itu gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah dalam Op Kontraban di Pekan Tamparuli pada Selasa.
Dalam operasi jam 1.40 tengah hari itu, sebanyak 457 karton minuman keras dirampas dan seorang lelaki berusia 25 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pemeriksaan awal anggota PGA berjaya menemui 54 karton minuman keras yang disimpan dalam sebuah van.
"Susulan itu dengan dipandu arah oleh suspek, anggota PGA berjaya menemui 123 karton pelbagai jenis minuman keras yang disembunyikan di sebuah restoran makanan halal.
"Hasil soal siasat lanjut, suspek kemudiannya menunjuk arah ke sebuah lagi premis lain yang menyimpan 280 karton minuman keras," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mohd Abduh berkata, suspek bersama barangan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
"Semua minuman keras yang dirampas ini tidak bercukai dan membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM100,847 berdasarkan harga pasaran semasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!