Penamat pahit Low bersama Jerman
KEKALAHAN 0-2 Jerman kepada England dalam pusingan 16 pasukan terakhir memberikan penamat pahit kepada karier pengendali pasukan itu, Joachim Low bersama Die Mannschaft.
Low sebelum ini mengumumkan khidmatnya bersama Jerman akan berakhir selepas Euro kali ini dengan tekad untuk membawa kejayaan dalam tugas-tugas terakhirnya bersama pasukan itu.
Namun, hasratnya tidak kesampaian apabila ditundukkan England di pusingan 16 pasukan terakhir pada awal pagi Rabu sekali gus memberikan penamat yang kurang memuaskan selepas 15 tahun membimbing Jerman.
Bagi Low, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa dengan menyifatkan para pemainnya sudah melakukan yang terbaik dalam saingan Euro kali ini.
"Sudah tentu ia satu kekecewaan kerana kami tidak dapat melangkah jauh. Kami mengharapkan sesuatu yang lebih daripada kejohanan ini dan saya percayakan kebolehan pasukan ini.
"Kami mempunyai dua peluang terbaik dalam perlawanan ini (menentang England), malangnya kami tidak berjaya menjaringkan gol. Kami minta maaf kerana telah tersingkir daripada kejohanan ini, namun kami bekerja keras dalam empat minggu terakhir ini dengan semua pemain memberikan yang terbaik.
"Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa dan saya memohon maaf kerana semangat semua orang bagaikan hilang. Kekecewaan itu sangat berat dan semua pemain benar-benar kecewa," katanya.
Karier Low bersama Jerman sebelum ini boleh dikatakan cemerlang dengan mengemudi Jerman ke perlawanan akhir Euro 2008, separuh akhir Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 sebelum mengecapi kejuaraan Piala Dunia pada 2014.
Namun, Low gagal membawa pasukan mara ke perlawanan akhir Euro 2016 walaupun memegang gelaran sebagai juara dunia selain gagal melepasi peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia di Rusia pada 2018 sehingga memaksa mengumumkan pengunduran diri daripada skuad kebangsaan Jerman apabial Euro kali ini tamat.
"Buat masa sekarang saya belum berfikir mengenai langkah seterusnya saya dalam bidang kejurulatihan ini. Apabila saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri, saya mungkin berehat terlebih dahulu.
"Saya akan lihat selepas beberapa hari atau mungkin beberapa minggu. Selepas 15 tahun bersama Jerman, sudah sampai masanya saya mengundurkan diri dan mengumpulkan kekuatan sebelum kembali semula dalam bidang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!