Shevchenko bangga prestasi Ukraine

Pemain Ukraine meraikan kejayaan mara ke suku akhir Euro 2020 bersama penyokong-penyong di stadium.
Pemain Ukraine meraikan kejayaan mara ke suku akhir Euro 2020 bersama penyokong-penyong di stadium.
A
A
A

PENGENDALI Ukraine, Andriy Shevchenko berbangga dengan prestasi keseluruhan skuad kendaliannya itu sehingga berjaya menewaskan pasukan pilihan, Sweden 2-1 pada aksi kalah mati penuh penuh dramatik di Hampden Park, Glasgow pada Rabu.

Menurut Shevchenko kesemua pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan bagi menghasilkan kejayaan berkenaan dan sekali gus menempah pertemuan dengan England bagi aksi suku akhir Euro 2020, Ahad ini.

Shevchenko
Shevchenko

“Bagi saya, kedua-dua pasukan telah beraksi dengan baik pada perlawanan berkenaan hingga menghasilkan ‘drama’ yang cukup menarik sehingga ke penghujung.

“Terima kasih kepada semua pemain atas komitmen serta prestasi yang baik yang ditunjukkan pada perlawanan berkenaan yang kini menjadikan mereka sebagai tumpuan utama di seluruh negara (Ukraine),” katanya.

Pemain Ukraine, Oleksandr Zinchenko, membuka jaringan pada minit ke-27, namun pemain sayap Sweden, Emil Forsberg berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43.

Bagaimanapun pemain gantian, Artem Dovbnyk menjaringkan gol kedua Ukraine pada masa kecederaan masa tambahan bagi mengesahkan slot ke suku akhir.

Untuk rekod, kali terakhir Ukraine mara ke suku akhir dalam kejohanan besar adalah pada Piala dunia 2006 lalu setelah menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan kalah mati, sebelum tewas 0-3 kepada Itali di suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zinchenko menyifatkan kemenangan berkenaan bakal menutup terus mulut pengkritik yang mengatakan Ukraine hanya mampu bertahan pada saingan peringkat kumpulan pada edisi Euro kali ini.

Malah katanya, kritikan itu semakin hebat diperkatakan, apabila Ukraine hanya mencatatkan kemenangan ke atas Macedonia Utara pada aksi di peringkat kumpulan.

“Kritikan-kritikan berkenaan secara keseluruhannya telah menyukarkan kami untuk memberikan tumpuan kepada perlawanan-perlawanan di peringkat kumpulan.

“Bagaimanapun, kini kami telah buktikan segala-galanya dan saya turut berbangga kerana telah membuktikan kepada negara serta seluruh benua Eropah bahawa kami mampu mencapai sesuatu pada Euro kali ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!