Pelancong ditawar naik helikopter tentera Lubnan

Gambar fail menunjukkan sebuah helikopter yang digunakan tentera Lubnan. - Foto Tentera Lubnan
Gambar fail menunjukkan sebuah helikopter yang digunakan tentera Lubnan. - Foto Tentera Lubnan
A
A
A

BEIRUT - Tentera Lubnan akan mengenakan bayaran kepada orang awam dan pelancong yang mahu merasai pengalaman terbang di ruang udara dengan menaiki helikopternya ketika krisis ekonomi masih melanda negara tersebut.

Dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang tentera itu, orang awam dan pelancong diberi peluang menaiki helikopter tersebut untuk menyaksikan Lubnan dari ruang udara selama 15 minit.

Helikopter yang digunakan adalah dari jenis Robinson R44 Raven dan hanya pelancong serta orang awam yang berumur tiga tahun ke atas dibenarkan untuk menaiki helikopter itu mulai Khamis ini.

Hanya tiga penumpang dibenarkan untuk menaiki helikopter itu dengan bayaran dikenakan kira-kira AS$150 (RM623.17) dan ia perlu dibayar dalam bentuk wang tunai.

Satu sumber memberitahu AFP bahawa tujuan pihak tentera membenarkan pelancong dan orang awam menaiki helikopter tersebut dengan dikenakan bayaran adalah untuk mempromosikan pelancongan selain sebagai salah bentuk sokongan kepada tentera udara negara tersebut.

Krisis ekonomi yang melanda Lubnan telah menyebabkan nilai gaji askar-askar negara itu semakin berkurangan manakala bajet untuk ketenteraan pula telah dikurangkan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!