Ahli perniagaan didakwa kes struktur transaksi, ubah wang haram

Mazni hadir Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram dan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah RM471,928.20, tiga tahun lalu.
Mazni hadir Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram dan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah RM471,928.20, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan wanita menjadi individu pertama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas lapan pertuduhan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM471,928.20, tiga tahun lalu.

Mazni Abu Bakar, 59, yang hadir di mahkamah dengan memakai tudung dan baju kelabu, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, wanita itu didakwa dengan niat mengarahkan seorang pekerjanya menstrukturkan transaksi masing-masing RM60,009.50; RM67,417.30; RM50,130.20 dan RM61,018.35.

Ia bagi mengelak kehendak pelaporan seperti peruntukan Seksyen 14(1)(a) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 iaitu ke dalam akaun CIMB, milik syarikatnya, Sasrestu Sdn Bhd nombor.

Kesalahan dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Taman Melawati di sini antara jam 3.55 hingga 4.01 petang 16 Januari hingga 21 Mei 2018.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A (1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum dengan Seksyen 4A (2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih lima kali ganda jumlah atau nilai transaksi itu pada masa kesalahan itu dilakukan; atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara empat lagi pertuduhan lain, wanita itu didakwa memindahkan, mengguna dan melupuskan masing-masing RM47,627.92; RM65,000; RM104,832.80 dan RM15,892.23.

Ia merupakan hasil daripada aktiviti haram, digunakan antaranya untuk pembelian kereta Toyota Alphard dan pembayaran cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan didakwa dilakukan di Bank CIMB sama pada 20 Februari hingga 18 September 2018.

Bagi empat pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 [Akta 613] yang memperuntukkan hukuman penjarakan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 bagi kesemua pertuduhan.

"Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, K. Theivendran merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

"Jumlah yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan adalah tidak munasabah, selain beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, seorang ahli perniagaan wanita yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didakwa di mahkamah pada Selasa atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah lebih RM230,000.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu bakal menjadi individu pertama didakwa berhubung kes seumpama itu di negara ini.

Menurut sumber, wanita itu disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut kerana cuba mengelak dikesan oleh pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 sehari yang dilakukan oleh pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan pertama kes penstrukturan transaksi di negara ini