Itali perlu waspada berdepan Belgium
PENYERANG Itali, Ciro Immobile mengingatkan untuk rakan-rakan sepasukan agar sentiasa berhati-hati ketika berdepan Belgium pada aksi suku akhir Euro 2020 di Allianz Arena,pada Sabtu.
Menurut penyerang berusia 31 tahun itu, biarpun bakal beraksi tanpa kelibat Kevin De Bruyne dan Eden Hazard akibat masalah kecederaan, pengendali Belgium Roberto Martinez pasti telah merangka strategi tersendiri bagi menurunkan kesebelasan terbaik kelak.
Malah katanya, skuad The Red Devils itu masih memiliki penyerang berbisa Romelu Lukaku yang dilihat mampu menjadi ‘pemusnah’ pada perlawanan berkenaan.
“Lukaku adalah seorang pemain hebat. Dia juga seorang pemain yang kuat. Ia sesuatu yang baik untuk mengenalinya (dalam saingan Serie A), dan saya yakin benteng pertahanan kita mampu untuk mengekang pemain ini.
“(Sebelum ini), De Bruyne and Hazard sering berperanan selaku perancang utama pasukan. Jelas, Belgium berdepan masalah sekiranya kedua-dua pemain ini mengalami kecederaan atau tidak cergas untuk diturunkan.
“Bagaimanapun kami akan tetap melakukan persiapan secukupnya kerana siapa juga yang bakal diturunkan bagi mengisi slot dua pemain ini pasti akan memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Untuk rekod, juara Kumpulan A, Itali layak ke suku akhir setelah menewaskan Austria 2-1 pada aksi kalah mati 26 Jun lalu manakala Belgium (juara Kumpulan B) menewaskan juara bertahan, Portugal 1-0, pada 27 Jun.
Malah, kedua-dua pasukan juga masih belum merekodkan sebarang kekalahan pada saingan Euro 2020 apabila masing-masing meraih sembilan mata maksimum pada aksi peringkat kumpulan.
Sementara itu Immobile menegaskan pasukan Belgium kali ini sudah jauh berbeza berbanding dengan pasukan yang pernah ditewaskan Itali pada Euro 2016 lalu.
Katanya, pasukan kali ini jauh lebih mantap dengan kehadiran beberapa pemain seperti Lukaku, Hazard, Bruyne dan lain-lain yang mampu memberikan masalah kepada pasukan lawan.
“Mereka telah menyingkirkan juara bertahan Portugal dan prestasi pemain seperti Lukaku juga dilihat sudah jauh meningkat berbanding sebelum ini.
“Pada aksi peringkat kumpulan Itali juga telah menewaskan Switzerland dan membuatkan pasukan itu kelihatan ‘kerdil’ dan ‘lemah.’
“Namun, kemenangan yang dicatatkan ke atas juara dunia Perancis pada saingan kalah mati baru-baru ini, membuktikan pasukan berkenaan sudah jauh berbeza dan membuktikan bahawa saingan pada Euro kali ini adalah lebih sukar daripada apa yang dijangkakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!