Negeri Sembilan cadang kilang ada kes Covid-19 ditutup 14 hari
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan kepada agensi penguat kuasa supaya kilang di negeri itu yang dikenal pasti mempunyai kes positif Covid-19 ditutup selama 14 hari.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu untuk mengawal kluster industri di negeri ini.
“Sekiranya ada pekerja positif Covid-19 di sesebuah kilang, kita cadangkan kepada pihak penguat kuasa berkaitan mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari.
"Kita mohon pihak tersebut pertimbangkan cadangan ini supaya kluster industri dapat dikawal dan sekali gus memutuskan rantaian wabak ini, " katanya pada sidang media Pasca Mesyuarat Exco yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.
Sementara itu, Aminuddin berkata, Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dijangka dibuka pada 5 Julai ini.
"Jadi saya berharap pembukaan PPV baharu ini akan mencapai capai sasaran 20,000 vaksin dapat diberikan kepada rakyat di Negeri Sembilan sehari," katanya.
Seramai 655,865 individu di negeri ini telah mendaftar untuk vaksin Covid-19 dan daripada jumlah itu 177,793 individu telah menerima dos pertama manakala 90,203 penerima sudah melengkapkan dua dos vaksin.
Negeri Sembilan pada Selasa merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 700 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 44,236 kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!