Tiada perhimpunan Black Democracy di Kuantan
KUANTAN - Empat lokasi di Kuantan termasuk sekitar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Istana Abdul Aziz dipantau susulan video tular yang mengajak orang ramai berkumpul secara haram pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seramai 94 anggota termasuk 12 pegawai dikerahkan untuk pelbagai penugasan Ops Aman Black Demo yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemantauan selama kira-kira empat jam itu, tiada sebarang pergerakan individu atau kumpulan hadir ke lokasi yang dipantau bagi tujuan solidariti kepada seruan kumpulan Black Democracy.
"Pemantauan diteruskan sehingga arahan penamatan operasi dikeluarkan.
"Dalam operasi melibatkan sekatan jalan raya (SJR) dan 'snap check' ini, pemeriksaan dilakukan ke atas 267 individu dan 213 kenderaan. Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan serta kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada Rabu.
Tambah Mohamad Noor, bagaimanapun sebanyak 18 saman kesalahan lalu lintas dikeluarkan dan dua kenderaan yang diperiksa diarah berpatah balik.
Isnin lalu video berdurasi dua minit 40 saat tular di media sosial mengajak orang ramai menyertai operasi Black Democracy pada Rabu.
Menerusi video itu, seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!