Suhakam gesa NSRM ditubuhkan semula
SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa agar Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) yang diperkenalkan pada tahun 2007 ditubuhkan semula bagi membolehkan orang ramai mengakses data berkaitan kes bunuh diri di negara ini.
Suhakam dalam satu kenyataan berkata, sistem tersebut merangkumi maklumat umur, jantina, kumpulan etnik, negeri dan cara bunuh diri yang mana akan membantu jalan penyelesaian jangka masa panjang dalam mencegah cubaan bunuh diri dalam masyarakat.
Menurut kenyataan itu, Suhakam bimbang dengan peningkatan kes cubaan bunuh diri dan bunuh diri yang kelihatan seolah-olah seiring dengan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.
“Terdapat banyak faktor risiko yang boleh menjurus kepada pemikiran untuk membunuh diri dan tindakan bunuh diri termasuk perubatan, psikososial atau tekanan kewangan.
“Ditambah pula dengan pengasingan sosial, kekurangan sistem sokongan keluarga atau ketidakmampuan untuk mendapatkan kaunseling atau sokongan kesihatan mental,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Kenyataan itu berkata, kes bunuh diri biasanya direkodkan sebagai kematian akibat kemalangan berbanding bunuh diri, menyebabkan sokongan psiko-sosial tidak diberikan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bunuh diri.
Menurut kenyataan itu, walaupun tindakan bunuh diri sering dikaitkan dengan alasan kesihatan mental, namun peranan masyarakat dan komuniti juga harus diberikan perhatian dalam usaha mengatasi masalah kesihatan tersebut.
“Dari perspektif hak, kami berpandangan bahawa sokongan kesihatan mental harus disediakan bagi mereka yang memerlukan terutamanya kepada mereka yang pernah terlintas untuk membunuh diri.
“Maklumat mengenai tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan akses kepada penjagaan dan sokongan kesihatan mental juga harus disebar luas,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Suhakam turut menggesa agar program vaksinasi dipercepatkan malah Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan secara bersasar.
“Ini penting supaya masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan kemungkinan besar akan membantu dalam mengurangkan kejadian bunuh diri secara menyeluruh,” tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!