Sukarelawan bantu orang kampung dapat vaksin
BALIK PULAU - Sekumpulan sukarelawan ‘Krew Perihatin Vaksin’ di Balik Pulau mengambil inisiatif untuk menjelajah kawasan desa sejak minggu lepas bagi memastikan golongan warga emas mendapat suntikan vaksinasi Covid-19.
Inisiatif tersebut diambil setelah mendapati daripada 91 peratus penduduk Balik Pulau yang berdaftar untuk mendapatkan vaksin, hanya kira-kira lapan peratus yang menghadiri janji temu vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Balik Pulau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan pasukan sukarelawan itu yang terdiri daripada 35 orang, telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan untuk membantu warga emas berusia 60 tahun dan ke atas untuk membuat pendaftaran serta membawa mereka ke PPV bagi mendapatkan suntikan.
“Kita masuk ke kampung untuk membantu mereka yang belum daftar vaksin kemudian keesokannya kita bawa mereka dari kampung untuk ke PPV menggunakan kenderaan sendiri supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok. Yang telah daftar tetapi tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV juga kita akan jemput dan hantar mereka,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, PPV di kawasan itu mempunyai kapasiti untuk menyuntik kira-kira 800 dos vaksin dalam masa satu hari namun yang menghadiri janji temu harian sekadar mencecah 400 orang.
Namun, setelah Program Daftar Terus Vaksin dijalankan, PPV Kompleks Sukan Balik Pulau berjaya memberikan suntikan kira-kira 700 dos vaksin dalam masa satu hari.
Tambahnya bermula Khamis, para sukarelawan bersama staf daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula memberikan suntikan dari rumah ke rumah buat penduduk kampung yang terlantar sakit atau tidak mempunyai keupayaan fizikal untuk menghadiri janji temu di PPV.
Sementara itu, seorang sukarelawan Krew Perihatin Vaksin, Abdul Ghafar Musa berkata, pasukan itu sudah memulakan gerak kerja dalam menyampaikan fakta mengenai vaksin sekitar lima bulan lepas namun kerja-kerja pendaftaran dan membawa warga emas ke PPV bermula sejak satu minggu yang lepas.
“Kita mendirikan kiosk di jalan-jalan utama di sekitar kampung-kampung di sini kerana kaedah itu lebih selamat berbanding hadir ke rumah penduduk ketika pandemik. Di kiosk ini, kita bantu mereka daftar vaksin, mendapatkan tarikh janji temu kepada mereka yang telah berdaftar dalam aplikasi MySejahtera dan membantu mereka mendapatkan janji temu baharu setelah terlepas tarikh yang diberikan.
"Kita akan berhubung terus dengan pihak yang bertanggungjawab di PPV Kompleks Sukan Balik Pulau yang kemudiannya memberikan tarikh janji temu baharu secepat mungkin,” katanya.
Tambah beliau, pasukannya memulakan misi jelajah seawal 8.30 pagi hingga 4 petang dan antara punca utama ketidakhadiran warga emas ke PPV pada tarikh yang diberikan adalah kerana tidak mempunyai pengangkutan, masalah kesihatan malah ada yang mempercayai berita-berita palsu mengenai keburukan vaksin yang tular menerusi media sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!