MPP PKR sokong kepimpinan Dr Mahathir
SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menyatakan sokongan penuh terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam satu mesyuarat hari ini.
Menerusi satu kenyataan, MPP PKR menegaskan perpaduan dan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) harus dipertahan dan menolak keras segala tohmahan yang cuba melaga-lagakan pimpinan dan melemahkan kerjasama erat dalam kalangan PH.
"PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Dr Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri, Wan Azizah menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh dua tahun. PKR menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah," katanya.
Dalam pada itu, MPP PKR turut menegaskan seluruh kekuatan parti perlu disalurkan ke arah menyokong usaha Kerajaan PH untuk mengukuhkan ekonomi dan mengatasi masalah rakyat termasuk isu kos sara hidup.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr Mahathir adalah bertujuan untuk menyokong Perdana Menteri dalam bentuk persetujuan bertulis jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap beliau.
Penjelasan itu susulan dakwaan Dr. Mahathir, bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO di Semenyih dan perakuan tersebut disebut jelas oleh Perdana Menteri dibuat secara lisan dan bertulis antara beliau dan Pas yang diwakili Abdul Hadi, Takiyuddin serta Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertemuan berkenaan.
Dalam pada itu, pada 19 Februari lalu, Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula mendakwa ada pihak dalam PH yang ingkar terhadap Dr Mahathir.
Hari ini Muhammad Khalil dalam satu kenyataan menamakan Anwar sebagai dalang terhadap usaha itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!