Kerajaan peruntuk RM147.1 bilion bantu PKS sejak 2020: Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM147.1 bilion khusus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak 2020, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi itu prospek pertumbuhan PKS dijangka kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 akan dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan,” katanya menerusi ucapan perasmian yang telah dirakam lebih awal bagi majlis pelancaran portal MyAssist MSME dan Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Rabu.
Antara pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan termasuklah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan yang terbaharu Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion yang diumumkan pada 28 Jun.
Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia menganggarkan ekonomi Malaysia tumbuh dalam lingkungan enam hingga 7.5 peratus tahun ini dengan pemulihan aktiviti domestik yang disokong peningkatan permintaan luar akan menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut.
Menurutnya, PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia dan golongan ini membentuk sekitar 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan negara yang wujud di setiap lapisan sektor.
“Secara keseluruhannya, PKS di negara ini telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta orang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!