Zulkiflie enggan minta bantuan lagi, mahu cari pekerjaan

Gambar Zulkiflie memegang bendera putih tular di media sosial.
Gambar Zulkiflie memegang bendera putih tular di media sosial.
A
A
A

JOHOR BAHRU- "Saya tidak minta sumbangan lagi sebaliknya akan berusaha untuk mencari pekerjaan demi menyara keluarga," kata Zulkiflie Samsudin, 39, dari Taman Pulai Indah Kangkar Pulai.

Zulkiflie mencuri tumpuan ramai, selepas gambar bendera putih di rumahnya tular sejak Isnin menyebabkan bantuan diterima mencurah-curah daripada pelbagai pihak dan orang perseorangan.

Katanya, dia menyara isteri, Nur Aqeela Atika Mohd Dali, 29, yang sarat mengandung anak ketiga yang bakal lahir September depan.

Selain itu, dia mempunyai anak perempuan yang berstatus orang kelainan upaya (OKU), Putri Nur Zahirah, 9, dan anak lelakinya, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia setahun.

"Selepas dengar pengumuman Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) akan disambung pada petang Isnin, saya bertanya mengapa disambung lagi sedangkan saya perlukan duit, mahu bayar ansuran kereta, bil api dan air.

Antara sumbangan makanan asas yang diterima Zulkiflie.
Antara sumbangan makanan asas yang diterima Zulkiflie.

"Susu anak dan lampin pakai buang anak sudah habis, sebab duit simpanan sudah digunakan untuk modal bagi saya melakukan kerja sampingan berkaitan kimpalan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Zulkiflie yang bekerja sebagai jurukimpal memberitahu, dia kehilangan punca pendapatan sejak pandemik Covid-19 dan bergantung dengan kerja-kerja sampingan yang dilakukannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya menerima pelbagai jenis bantuan makanan kering termasuk beras dan minyak, jadi saya berhasrat untuk menderma sedikit barangan kepada golongan memerlukan.

"Saya berterima kasih kepada semua penyumbang yang sanggup ke rumah kami tanpa mengira bangsa serta memberi kata semangat supaya saya lebih tabah menempuhi keadaan ini," katanya.

Barang sumbangan yang diterima Zulkiflie tular di media sosial.
Barang sumbangan yang diterima Zulkiflie tular di media sosial.

Menurutnya, dia tidak menafikan keluarganya dikecam segelintir pihak yang memberi pelbagai tohmahan tidak berasas.

"Saya terdesak, jika saya menipu ia adalah antara saya dan tuhan, memang saya tidak mampu. Saya rela bertemu dengan sesiapa saja yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan tindakan menaikkan bendera putih.

"Bendera putih yang dinaikkan sejak petang Isnin lalu sudah pun diturunkan pada hari yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!