Makmal forensik PDRM akan diperkasa selari peredaran zaman

Abd Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik PDRM Cheras hari ini. -Foto Bernama
Abd Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik PDRM Cheras hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan penambahbaikan dan memperkasakan Bahagian D10 (Makmal Forensik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selaras dengan perkembangan dan trend jenayah semasa.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, antara perancangan strategik yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi tiga dimensi (3D) dalam rekonstruksi tempat kejadian dalam memantapkan siasatan saintifik dan memantapkan kemahiran dan kompetensi perkhidmatan melalui kursus dan latihan dalam dan luar negara.

"Selain itu, PDRM juga akan memperkasakan Unit Siasatan Tempat Kejadian dengan permohonan perolehan kenderaan yang melibatkan 33 buah kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan peralatan bantuan siasatan di tempat kejadian jenayah," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) JSJ di Maktab PDRM Cheras di sini pada Rabu.

Abd Jalil berkata, Unit Digital Forensik juga akan diperkasakan sebagai peneraju utama dalam siasatan kes-kes jenayah siber.

"Antara rancangan PDRM adalah untuk membina sebanyak 14 buah Makmal Forensik Digital Satelit di setiap kontinjen polis negeri dan menubuhkan sebuah Makmal Forensik Siber Seksual di Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan berkenaan perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan siasatan saintifik PDRM sekali gus meningkatkan kadar penyelesaian kes, pertuduhan dan pendakwaan kes di mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!