Malaysia di kedudukan ke-25 dalam World Competitiveness Yearbook 2021

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - World Competitiveness Yearbook 2021 terbitan Pusat Daya Saing Dunia, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi berbanding ranking ke-27 tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan ranking ‘Ease of Doing Business 2020’ oleh Bank Dunia, Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan 190 ekonomi dari segi menguruskan permit pembinaan.

“Walaupun semua ini menunjukkan inisiatif pembaharuan yang sedang dilaksanakan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pengawalseliaan kita cukup cekap untuk bertindak balas terhadap perubahan,” katanya semasa berucap melancarkan Laporan Produktiviti Negara 2021 dan Forum Produktiviti secara maya pada Rabu.

Laporan dan forum oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu mengangkat tema ‘Melonjakkan Produktiviti: Penetapan Semula, Pembaharuan dan Pemulihan’.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, Laporan Produktiviti menggunakan pendekatan berbeza kali ini.

Menurutnya, ia menumpukan secara langsung kepada isu dan cabaran yang menghalang pertumbuhan produktiviti dalam situasi krisis kesihatan dan ekonomi terburuk selain menekankan penyelesaian yang disyorkan untuk menguruskan kekangan ini.

Beliau berkata, dalam menangani cabaran ketara yang dihadapi produktiviti serta dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhannya, tema 2021 untuk laporan itu merumuskan semuanya adalah - penetapan semula dan pembaharuan, yang akhirnya membawa kepada pemulihan produktiviti.

“Syor yang dikemukakan dalam laporan ini adalah seiring dengan agenda kerajaan menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan.

Artikel Berkaitan:

“Penyelesaian, yang wajar sekali dilakukan, dijangka melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan seterusnya memacu kebangkitan semula dan pemulihan perniagaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Abdul Latif berkata, dalam lingkungan persekitaran perniagaan, pengawalseliaan berperanan penting untuk menambah baik aspek pemudahan urusan bertujuan menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, usaha menguruskan kebimbangan berkaitan pengawalseliaan dalam kalangan pihak industri, terutama perniagaan yang terjejas akibat pandemik, kini lebih mendesak untuk melancarkan pemulihan mereka.

“Pembaharuan pengawalseliaan amat penting untuk mengurangkan beban kawal selia yang tidak diperlukan perniagaan di samping merangka dasar yang lebih kondusif bagi kecekapan perniagaan.

“Pemudah atau Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, bekerjasama dengan MPC yang berperanan sebagai sekretariat, komited terhadap pembaharuan pengawalseliaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi perutusan menteri yang terkandung dalam laporan tersebut, Mohamed Azmin berkata, prospek adalah cerah bagi Malaysia, dipacu oleh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mencatatkan kemajuan baik untuk mencapai kadar secepat mungkin dan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.

“Kerajaan juga melancarkan dan melaksanakan beberapa pakej rangsangan untuk mengurangkan beban komuniti perniagaan dan rakyat secara amnya. Insentif dan program diperkenalkan untuk mengatasi isu pekerjaan, kehilangan perolehan dan persekitaran perniagaan.

“Tumpuan utama akan terus diberikan kepada penerimagunaan digitalisasi dan teknologi sebagai alat untuk mempercepat pemulihan ekonomi. Menerusi usaha sinergi ini, sudah tentu wujud sentimen keyakinan untuk 2021 menjadi tempoh perubahan bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini sekali gus menjejaskan kehidupan dan pendapatan rakyat, mengakibatkan kemerosotan produktiviti pada -5.5 peratus tahun lepas ekoran gangguan yang mengejutkan.

“Kita berusaha mengatasi pelbagai halangan dengan menetapkan peluang gerak yang telah mengubah trajektori kehidupan kita untuk keadaan lebih baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Bank Negara Malaysia, menerusi laporan prestasi suku pertama yang dikeluarkan pada Mei, mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan yang dijangkakan pada 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata, ia menunjukkan pemulihan dari segi tenaga kerja dan produktiviti modal yang disokong oleh pemulihan ekonomi secara meluas di kebanyakan sektor secara amnya.

“Walaupun langkah berani dan perlu untuk melandaikan keluk jangkitan telah dilaksanakan pada 2020, kerajaan, dilengkapi dengan data virologi yang bermanfaat, telah mengambil langkah lebih bijak tahun ini untuk mengekang virus itu daripada menular secara eksponen, berdasarkan objektif menyeluruh untuk melindungi nyawa rakyat di samping memastikan peningkatan semula pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!