Kilang tidak patuh SOP diserbu, Imigresen tahan 229 warga asing
KLANG - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 229 warga asing dalam serbuan di sebuah kilang pelupusan besi di Meru di sini pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi pada jam 11 pagi itu merupakan salah satu siri Op Patuh yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi lain berkaitan.
Menurut beliau, selain pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya turut memeriksa semua pekerja asing yang didapati bekerja di kilang berkenaan.
"Pemeriksaan di lokasi mendapati kilang itu bukan sahaja melanggar dan tidak patuh SOP PKP, malah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa.
"Hasil pemeriksaan, kita menahan 229 orang lelaki warga asing yang terdiri daripada 99 warga India, 88 warga Bangladesh, 33 warga Pakistan, lima warga Myanmar, tiga warga Indonesia dan seorang warga Nepal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 45 tahun.
"Selain pemeriksaan ke atas dokumen dan pas pekerja asing, aspek pematuhan SOP PKP lain turut diperiksa oleh agensi berkaitan.
"Kilang tersebut turut dikenakan tindakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP PKP dan Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan kompaun sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi SOP PKP bagi pengurusan tempat kerja," katanya.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang timbunan besi.
"Walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya digagalkan oleh pegawai operasi," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.
"Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!