Dua beradik yatim piatu jadi anak angkat Ketengah
KUALA TERENGGANU - Nasib dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka dalam nahas jalan raya pada Selasa mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Ketengah pada Rabu mengumumkan dua beradik tersebut iaitu Damia Irdina Mohd Zuki, 13, dan Aqeel Zayaan Mohd Zuki, 2, menjadi anak angkat Kelab Ketengah agar kebajikan mereka terus terbela terutama dalam mendapat pendidikan sempurna.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, ibu kepada dua beradik itu, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, adalah kakitangan Ketengah (penolong pegawai tadbir) dan telah menjalankan tugas yang sangat cemerlang sepanjang tempoh bertugas.
"Agak terkejut dengan berita sedih ini kerana Nur Farraheeda dan suaminya Mohd Zuki Yusof, 44, serta seorang lagi anak mereka Nasyreen Umayra Mohd Zuki, 10, meninggal dunia dalam kemalangan yang cukup tragis semalam.
"Ketengah akan tanggung kos pendidikan Damia Irdina sehingga dia tamat sekolah menengah dan adiknya Aqeel Zayaan pula kita akan tanggung sehingga tamat sekolah rendah," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak maut SUV bertembung bas
Dalam kejadian 3.10 petang Selasa, tiga beranak itu maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 25, Jalan Paka-Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun.
Damia Irdina yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas bagaimanapun terselamat dalam nahas itu dan hanya mengalami kecederaan pada bahu kirinya serta dibenarkan pulang pagi Rabu selepas menjalani rawatan di Hospital Dungun.
Razali berkata, beliau telah menziarahi dua beradik tersebut bersama Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa di kediaman mereka di AMBS pada Rabu.
"Kita beri sebuah tablet kepada Damia Irdina sebagai motivasi untuk dia terus bersemangat menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Saya difahamkan, dua beradik itu akan dijaga oleh datuk mereka selepas ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!